mutakhir

1,228 asnaf kini usahawan berjaya, jadi pengeluar zakat [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Seramai 1,228 asnaf fakir dan miskin di Selangor kini menjadi usahawan berjaya, memiliki perniagaan sendiri malah sudah menjadi pengeluar zakat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kejayaan yang ditunjukkan oleh asnaf dengan bantuan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) membuktikan manfaat besar zakat kepada umat Islam.

"Apa yang membanggakan, bermula tahun 2013 hingga 2021, seramai 1,228 orang berjaya bebas dari asnaf dan kini berjaya pula menjadi pengeluar zakat. Alhamdulillah.

"Inilah antara bukti manfaat zakat yang tuan-tuan dan puan-puan keluarkan. Zakat bukan hanya menjadi umpan, malahan joran untuk dijadikan pancing untuk asnaf boleh hidup berdikari dan berjaya dengan sendirinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Perasmian Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) di Wisma PKPS, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, pada program itu juga 170 usahawan asnaf dan bekas asnaf dihimpunkan bersama-sama dengan pelbagai agensi pembiayaan perniagaan selain 10 usahawan menerima Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2022.

"Melalui Program Pembangunan Usahawan Asnaf yang diuruskan oleh TERAS, kira-kira 1,000 usahawan asnaf diberikan latihan perniagaan dalam pelbagai aspek setiap tahun.

"Syabas dan tahniah kepada TERAS kerana sepanjang sembilan tahun ke belakang ini ramai usahawan asnaf yang berjaya di bantu melalui program usahawan ini," katanya.

Sementara itu Pengurus Besar TERAS, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim berkata, berdasarkan rekod TERAS, kira-kira 60 peratus usahawan yang berjaya itu terbabit dalam industri makanan.

"Secara purata sekitar 150 hingga 160 setiap tahun asnaf berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, bagaimanapun ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, jumlahnya sedikit berkurang di mana seramai 96 orang pada tahun 2020 dan 58 orang tahun 2021 berjaya keluar dari kemiskinan.

"Antara contohnya, usahawan kita di Kuala Selangor menjalankan aktiviti peruncitan, dalam masa dua bulan ketika pandemik itu pendapatan dia mencecah RM100,000," katanya.

Mohd Hasnul Redza berkata, TERAS yang juga anak syarikat MAIS membantu tujuh kategori industri perniagaan iaitu makanan, peruncitan, perkhidmatan, perikanan, pertanian, penternakan dan pembuatan.

Menurutnya, tujuh industri yang dibantu ini selaras dengan bantuan di peringkat awal yang diberikan oleh Lembaga Zakat Selangor,

"Daripada data yang kita ada setakat ini secara purata, sekitar 900 ke 1,000 usahawan asnaf ini terbabit dengan industri makanan sama ada memiliki kedai makan, makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan.

"Ada juga keluarkan produk seperti sabun, batu nisan, perniagaan perabot, pembersihan rumah, perkhidmatan van sekolah, urutan.

"Ini antara usahawan asnaf yang kita berjaya kenal pasti dan bantu sehingga mereka ini keluar dari kemiskinan. Mereka semua berpotensi untuk terus berjaya," katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2022 @ 1:19pm
d