mutakhir

Paraglider tersangkut atas pokok

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang penggemar aktiviti paragliding berdepan detik cemas apabila tersangkut di atas sebatang pokok dalam kejadian di Bukit Kokol, Manggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 34 dilaporkan tersangkut pada pokok dianggarkan setinggi 60 meter itu selepas gagal mengawal peralatan luncur udara dipercayai akibat angin kencang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari.

Katanya, seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba terpaksa berjalan sejauh lima kilometer dari jalan utama melalui jalan hutan untuk sampai ke lokasi mangsa tersangkut.

"Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) juga sudah dikerah ke lokasi kejadian untuk membawa peralatan khas bagi menyelamatkan mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, setakat jam 5 petang tadi, mangsa belum dapat diselamatkan dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Disiarkan pada: July 26, 2022 @ 7:31pm
d