mutakhir

VCAM mohon kerajaan perkenal undang-undang, peraturan penjualan vape

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Vape Malaysia (VCAM) mengakui bahawa vape tidak bebas risiko, tetapi terdapat bukti saintifik yang semakin meningkat bahawa ia kurang berbahaya berbanding menghisap rokok.

Dalam satu kenyataan hari ini, VCAM berkata dengan kerajaan Malaysia memperkenalkan Generational End Game (Generasi Penamat atau GEG), lebih dikenali sebagai rang undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, komuniti vape dan pengguna menggesa kerajaan memikirkan semula rancangannya untuk rang undang-undang itu.

VCAM berkata, pihaknya menyokong keputusan kerajaan memperkenalkan GEG untuk menangani peningkatan pesakit kanser di Malaysia, namun larangan itu bukan sahaja menjejaskan rokok dan larangan pemilikan tembakau, tetapi juga produk vape.

"Untuk melindungi generasi muda dan mencapai negara bebas asap rokok, VCAM dengan tegas menggesa kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang dan peraturan penjualan produk vape.

"Sebagai persatuan pengguna, VCAM menentang sebarang bentuk penggunaan vape oleh pengguna di bawah umur, sama ada ia mengandungi nikotin atau tidak. Dengan mempunyai peraturan, semua produk vape hanya akan dijual kepada pengguna dewasa secara selamat dan sah," katanya.

Menerusi kenyataan itu, VCAM berkata, sekiranya vape diharamkan, perokok tidak lagi mempunyai alternatif yang selamat untuk beralih dan mereka mungkin terpaksa berhenti merokok tanpa alternatif berkenaan yang terbukti kurang berkesan.

Menurutnya, jika tiada alternatif yang ditawarkan untuk pengguna, orang ramai khususnya akan mula mencari cara lain yang mungkin lebih berbahaya.

"Kami memahami bagaimana kebimbangan semasa negara. Terutama dengan pelbagai kejadian penggunaan vape bawah umur dan penyalahgunaan vape.

"Apa pun ditegaskan menjual dan membeli produk vape kepada sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun hendaklah dilarang sama sekali untuk mengelakkan penyalahgunaan dan pelanggaran produk vape nikotin.

"Netizen juga menuntut peraturan untuk mencapai keseimbangan, memastikan produk vape tersedia untuk perokok sebagai alat berhenti dan pada masa yang sama memastikan produk ini tidak dipasarkan atau dijual kepada golongan bawah umur," katanya.

VCAM berkata, sekiranya alternatif tidak disediakan, GEG boleh menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk produk tembakau dalam pasaran gelap.

"Tanpa sekatan atau peraturan yang sewajarnya, produk tembakau yang dijual di pasaran gelap boleh jadi dipalsukan, yang kemudiannya boleh menyebabkan kemudaratan anggota badan pengguna akibat bahan dan kualiti yang tidak terkawal," katanya.

Disiarkan pada: July 27, 2022 @ 4:27pm
d