mutakhir

Nafi kenderaan rasmi milik Pengarah JKR Perak diguna untuk urusan peribadi [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak menafikan dakwaan kenderaan rasmi milik Pengarah jabatan itu digunakan bagi tujuan peribadi bersifat kekeluargaan seperti video tular di media sosial TikTok serta Twitter sejak kelmarin.

Pejabat Pengarah JKR Perak menerusi kenyataan hari ini berkata, Pengarah JKR Perak (Ir Hamdan Ali) tidak mengenali individu tertera sebagaimana video tular terbabit.

"Merujuk kepada penularan video terbabit yang disebarkan pada 26 Julai lalu (kelmarin), Pengarah JKR Perak tidak mengenali individu terbabit.

"Kenderaan yang dipaparkan (dalam video juga) adalah bukan kenderaan rasmi Pengarah JKR Negeri Perak, (kerana) kenderaan rasmi Pengarah adalah Honda Accord," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, susulan dakwaan menerusi video terbabit, siasatan akan dijalankan supaya tindakan seterusnya dapat diambil.

Menerusi video itu, sekeping gambar memaparkan kenderaan jenis pikap warna hitam dengan logo JKR tertulis Ibu Pejabat Perak Darul Ridzuan yang mana visual itu turut disertakan dengan serangkap tulisan oleh pemuat naik video.

Tulisan yang dimuat naik itu menerangkan bapa saudara kepada pemuat naik video terbabit adalah Pengarah JKR Perak datang melawatnya yang mana pada masa sama ibu kepada pemuat naik video berkenaan perlu segera pulang ke rumah daripada berjumpa kawan.

Dengan keterangan sama, video itu kemudiannya disusuli dengan visual bergerak memaparkan seorang wanita merakam ruang dalaman sebuah kenderaan yang dipandu seorang lagi wanita yang dipercayai ibu kepada perakam video terbabit.

Disiarkan pada: July 28, 2022 @ 8:43pm
d