mutakhir

Misi 85 hari berjaya jejaki 20 negara Eropah

Oleh Redzuan Muharam

Shah Alam: Selepas 85 hari mengembara ke 20 negara Eropah menerusi Misi Jelajah Berbasikal Solo Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) #FarisNoor, Wan Muhammad Faris Wan Mohd Noor akhirnya pulang ke tanah air, pada 1.15 pagi tadi.

Biarpun tiada pengalaman mengembara jauh, Wan Muhammad Faris yang menetap di Setia Alam, di sini, menganggap misi sulungnya berjaya mencapai tiga matlamat utama iaitu merentasi 20 negara seperti disasarkan, menjejaki alumni UPNM dan memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat luar.

Menurutnya, ia adalah pencapaian peribadinya untuk mengembara ke 30 negara pada usia 30-an.

"Ikutkan, saya dapat menjejaki ke 21 negara termasuk Switzerland... cuma saya tidak habiskan masa di Switzerland kerana setakat menaiki bas melalui negara berkenaaan, jadi misi rentas 20 negara berjaya.

"Syukur juga apabila dipertemukan dengan lima alumni UPNM selain memperkenalkan Malaysia di setiap tempat dilawati dengan memasak buat penduduk tempatan dan pengembara lain, malah mereka memuji masakan walaupun sekadar menyediakan hidangan biasa.

"Kesempatan bertemu masyarakat luar juga saya gunakan untuk berkongsi keistimewaan dan sebab mereka perlu datang melancong ke Asia Tenggara secara umumnya dan Malaysia secara khususnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pengalaman ketika di perantauan, Wan Muhammad Faris mengakui ada beberapa cabaran yang membuatkan misinya hampir terhenti di pertengahan jalan.

Katanya, antara cabaran itu adalah masalah mendapatkan makanan halal ketika berhenti beberapa tempat.

"Cabaran lain adalah kesukaran mendapatkan tempat penginapan ketika musim panas dan emosi juga sedikit terganggu ketika dapat perkhabaran emak serta ayah demam.

"Bagaimanapun, saya cuba menguatkan diri dan masalah kewangan juga ada, tetapi tidak begitu serius kerana saya sentiasa berbelanja mengikut bajet dan sudah menyediakan wang kecemasan.

"Syukur juga kerana sepanjang tempoh misi, Allah kurniakan kesihatan yang baik, malah tidak pernah sekali pun batuk atau demam," katanya yang enggan mengakhiri misi berkenaan jika mengikut rasa hati kerana sudah mendapat rentak sebagai pengembara solo.

Katanya, detik terakhir untuk menghabiskan misi memang menyedihkan, malah perasaannya juga bercampur-baur.

"Rindu hendak balik Malaysia, tetapi sedih malah saya tidak dapat menahan sebak apabila diraikan komuniti Malaysia di Istanbul, Turkiye sebelum pulang ke tanah air.

"Bagaimanapun, saya kena balik juga kerana ada komitmen kerja sebagai perunding takaful," katanya.

Wan Muhammad Faris berkata, dia kini merancang untuk berkongsi pengalaman sebagai pengembara solo dengan mereka yang berminat dalam aktiviti pengembaraan.

"Saya mahu kongsikan dengan rakyat Malaysia betapa seronoknya aktiviti mengembara dan bagaimana ia berupaya membuka minda kita. Perancangan lain adalah membuka asrama bajet khusus untuk pengembara dan semoga impian itu tercapai," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan misi jelajah berbasikal solo Wan Muhammad Faris yang bermula 7 Mei lalu.

Wan Muhammad Faris bertolak dari KLIA pada 11.30 malam menuju ke London, United Kingdom (UK) sebelum meneruskan perjalanan merentasi 20 negara.

Mengikut perancangan, misi jelajah solo itu mengambil masa selama 74 hari iaitu sehingga 21 Julai lalu, namun misi dilanjutkan sehingga 85 hari kerana Wan Muhammad Faris menambah hari penginapan di beberapa tempat lain dilawatinya.

Disiarkan pada: July 31, 2022 @ 4:57pm
d