mutakhir

Allahyarham Fajim tidak pernah nyata hasrat bersara dalam dunia penerbangan [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Suasana hiba menyusuri perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), awal pagi ini dengan ketibaan waris terdekat mangsa maut dalam nahas kejadian pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, di sini.

Ketibaan waris terdekat Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, iaitu isteri, anak Allahyarham dengan menaiki sebuah kereta dipandu anggota dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira jam 1.25 pagi tadi disambut kira-kira 20 individu terdiri dari saudara-mara serta kenalan rapat di perkarangan jabatan berkenaan.

Mereka difahamkan berlepas dari Semenyih, Selangor selepas dimaklumkan mengenai insiden nahas terbabit.

Keluarga terdekat Allahyarham itu, terdiri dari anak serta isterinya bagaimanapun tidak sempat untuk ditemubual pemberita kerana meninggalkan jabatan itu kira-kira 15 minit selepasnya selesai berurusan dengan petugas di kaunter jabatan forensik HRPB.

Ibu saudara kepada Fajim Juffa yang enggan namanya dikenali, 54, ketika ditemui di situ berkata, Allahyarham disifatkan seorang yang ceria, sangat mesra, pada masa sama seorang yang tegas.

Katanya, kali terakhir Fajim dan isteri bertandang ke kediamannya di Klebang Damai, di sini, Ramadan lalu yang mana Allahyarham meluangkan puasa untuk berbuka puasa di situ.

"Umur antara saya dan arwah Fajim yang tidak beza begitu jauh membuatkan kami agak rapat sejak kecil.

"Selepas Ramadan lalu, dia ada memberitahu akan menziarahi saya semula Aidiladha lalu, namun hajat itu tidak kesampaian," katanya,

Menurutnya, biarpun hubungan mereka rapat namun sepanjang pengetahuannya Allahyarham tidak pernah menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia penerbangan disebabkan minat mendalam sejak muda.

"Emak arwah yang juga kakak sulung saya, tidak begitu menggalakkan minat arwah disebabkan risau memandangkan ayah kandung arwah juga terkorban dalam nahas membabitkan pesawat iaitu tragedi helikopter Nuri di Muara Sungai Lundu, Sarawak pada tahun 1989.

"Arwah Fajim juga pernah dilaporkan media sebelum ini hilang selama beberapa hari akibat tersangkut di atas pokok selepas pesawat MiG-29 dipandunya pada November 2004 terhempas," katanya.

Setakat temubual itu, beliau bagaimanapun belum menerima maklumat tuntas mengenai lokasi jenazah anak saudaranya itu bakal dikebumikan.

"Walaupun keluarga terdekat arwah tiba malam (awal pagi ini), namun saya difahamkan proses bedah siasat hanya akan dimulakan kira-kira 10 pagi nanti," katanya.

Berita berkaitan

Pesawat terbang rendah, langgar tiang lampu

Pesawat terhempas ketika jalani latihan

1 maut, 1 selamat pesawat ringan terhempas di Medan Gopeng

Pesawat ringan terhempas, 2 tersepit

Disiarkan pada: August 2, 2022 @ 7:45am
d