mutakhir

Kerana salah faham, lelaki dipukul dengan spanar

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerana salah faham ketika berhibur, seorang lelaki dipukul dengan spanar dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 3.30 pagi.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu susulan satu video tular di media sosial berdurasi 13 saat yang memaparkan insiden terbabit.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa berusia 24 itu luka di hidung dan lebam pada mata kanan akibat dipukul dengan spanar oleh seorang lelaki dipercayai warga Singapura.

"Kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mereka berhibur di pusat hiburan terbabit.

"Hasil siasatan mendapati pengadu merupakan seorang lelaki warga tempatan, manakala suspek pula adalah warga asing yang dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, suspek datang bersama-sama dua lagi rakannya dengan menaiki kenderaan dengan nombor pendaftaran luar negara.

"Susulan kejadian itu, kita sedang mengesan tiga suspek warga asing itu untuk membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor S Sivakumaran 019-5127410," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 2, 2022 @ 2:00pm
d