mutakhir

Apa nak jadi, tunggang motosikal sambil hidu gam

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Selepas sebulan diburu polis kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar di Lebuhraya Plus di sini, 1 Julai lalu, seorang lelaki akhirnya berjaya ditahan polis di Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, ketika kejadian suspek dipercayai menunggang dalam keadaan khayal kerana menghidu gam.

"Kami mengesan satu rakaman tular berdurasi 40 saat di laman sosial kira-kira jam 5 petang 2 Julai lalu, memaparkan kejadian seorang lelaki menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

"Menerusi rakaman itu, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Kilometer (Km) 267 Lebuhraya Plus arah selatan. Ia membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran," katanya tadi.

Nanda berkata, motosikal disyaki ditunggang oleh seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an seorang diri sedang bergerak di lorong tengah lebuh raya.

"Dalam rakaman itu juga memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kiri disyaki gam," katanya.

Menurut Nanda, hasil daripada risikan dilakukan, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan di premis cuci kereta sebuah stesen minyak di Jalan Dato Haji Abdul Samad, Port Dickson, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

"Suspek kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat suspek mengaku menunggang motosikal terbabit dalam keadaan hayal dan sedang menghidu gam. Ujian saringan awal air kencing dijalankan ke atas suspek dan mendapati keputusan saringan adalah negatif daripada penyalahgunaan dadah.

"Suspek dikenakan tindakan mengikut Kaedah 4 PU(A) 043/73 Kaedah Lalulintas iaitu kesalahan tidak memakai topi kaledar, Seksyen 14(1) APJ 1987 kerana tidak memperagakan nombor pendaftaran dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2022 @ 3:58pm
d