mutakhir

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas [METROTV]

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi dan Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

RUU yang masih di peringkat bacaan kali kedua itu, diluluskan sebulat suara, selepas perbahasan membabitkan 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, digulung Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Khairy ketika mengemukakan usul merujuk RUU berkenaan ke Jawatankuasa Pilihan Khas berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 54(2) bagi membolehkan jawatankuasa terbabit membuat syor mengenai beberapa perkara.

Ia membabitkan penelitian 'Bahagian IX - Penguatkuasaan' dalam RUU dan mencadangkan apa-apa penambahbaikan jika perlu, tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

"Meneliti fasal berhubung dengan penalti bagi kesalahan dalam RUU dan mencadangkan apa-apa penambahbaikan sekiranya perlu.

"Meneliti cadangan penambahbaikan dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat dalam perbahasan peringkat dasar RUU serta syor dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial berhubung RUU.

"Menyediakan suatu penyata mengandungi cadangan penambahbaikan RUU bagi tujuan kawal selia produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok dalam tempoh sebulan. Jawatankuasa Pilihan Khas boleh melanjutkan tempoh ini jika perlu tetapi hendaklah tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menggulung perbahasan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau, selain dianggotai 12 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Bagi tujuan urusan itu, katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti Ahli Parlimen, pakar perundangan dan perlembagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Masyarakat Madani serta individu lain untuk hadir dalam persidangan dari semasa ke semasa.

Jawatankuasa itu dianggotai Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim;Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang);Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas).

Ia turut dianggotai Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni; Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Sivarasa (Sungai Buloh); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor); Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran); Datuk Ignatius Dorell Leiking (Penampang) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun).

Terdahulu, Khairy ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pihaknya menjangkakan perbahasan dan penerimaan RUU itu berbeza dalam kalangan Ahli Parlimen kerana tidak mempunyai duluan (precedent) sama ada di Malaysia atau luar negara.

"Ini disebabkan RUU ini bukanlah RUU biasa atau ada rujukan sama ada dalam sejarah Malaysia mahupun negara luar. Ini adalah RUU yang bak kata Gopeng (Dr Lee Boon Chai) sebagai 'mengubah permainan'.

"Matlamatnya adalah untuk membawa penamatan merokok dan menghisap rokok kerana mudarat rokok adalah ke atas diri sendiri dan individu berhampirannya.

"Saya akan cuba mengupas tema besar dalam penggulungan dengan semangat kita bersetuju merujuk RUU ini ke Jawatankuasa Khas dan perkara ini perlu diambil serius. Kita tak mahu undang-undang penting seperti ini terpaksa disokong atau diluluskan tanpa diperhalusi secara mendalam.

"Kalau kita tengok kedua-dua blok ada yang setuju dan sebaliknya. Kalau kita enforce, mungkin akan ada yang setuju atau membangkang dengan paksaan. Justeru, lebih baik apabila 'rumah ini siap dan pahat tidak berbunyi', biarlah 'rumah ini siap dengan sempurna atau sesempurna mungkin'," katanya.

Mengenai aspek kebebasan memilih dibahaskan beberapa Ahli Parlimen, Khairy bagaimanapun menjelaskan, setiap individu di negara ini juga tidak mempunyai hak asasi untuk mencederakan diri, orang lain atau memudaratkan kemaslahatan awam.

"Saya dengar Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) menyatakan RUU ini mencabul hak, seperti termaktub dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan tetapi ingin dinyatakan tiada manusia di Malaysia yang ada hak asasi untuk mencederakan diri.

"Saya tak tahu kalau ada Ahli Parlimen yang boleh berdiri untuk menyatakan tiada bukti mengaitkan merokok dengan kanser. Saya boleh rujuk pelbagai bukti saintifik. Tidak ada hak asasi untuk mencederakan diri," katanya.

Beliau juga berkata, mana-mana individu di negara ini tidak mempunyai hak untuk mencederakan orang lain, selain mengetengahkan kesan merokok serta perokok sekuder dan tertier yang boleh menyebabkan penyakit dan kematian bagi tujuan demikian.

"Anda juga tiada kebebasan untuk memudaratkan kemaslahatan awam melalui pelbagai kesan negatif daripada merokok. Kebebasan yang dianggap dalam konteks diperbahaskan ini adalah apabila kita memilih untuk merokok, kita akan kekal ada kebebasan untuk terus merokok.

"Namun, harus diingat bahawa kadar ketagihan nikotin adalah antara 80 hingga 90 peratus, selain mengikut sains tiada nilai ambang minimum selamat untuk merokok. Nikotin adalah sangat ketagih, dan ketika kita ketagihannya, tiada lagi kebebasan bagi rokok atau apa-apa substance," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri ketika membahaskan RUU itu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan disaman sebilangan remaja berusia 18 tahun, jika RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022, diluluskan.

Beliau berkata, tindakan perundangan itu mungkin diambil golongan remaja terbabit dengan alasan kerajaan melanggar kebebasan mereka memilih untuk merokok atau sebaliknya.

Ini kerana, katanya, penggubalan RUU itu akan melarang individu yang lahir selepas 1 Januari 2007 daripada merokok dan menghisap vape, sekali gus mewujudkan diskriminasi kepada golongan terbabit.

"Saya setuju jika kita haram rokok terus. Bila kita haram rokok, maka mereka (lahir 2007) juga tidak boleh hisap rokok, makna kita pun tak boleh hisap rokok.

"Kenapa diskriminasi? Bolehlah jawab (penguatkuasaan secara) bertahap ke apa, tetapi kamu mencipta diskriminasi.

"Saya percaya, nanti ada budak 18 tahun, dua, tiga orang akan bawa kes ke mahkamah dan menuntut mahkamah menentukan sama ada hak asasi mereka dicabuli (atau tidak), kerana adanya akta ini," katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2022 @ 6:26pm
d