mutakhir

Menteri arah siasat kejadian

Oleh Fahmy A Rosli

Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan kejadian yang tular membabitkan pegawai tertinggi kerajaan dengan seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya apa sebenarnya yang berlaku, Hamzah mengakui tidak tahu punca sebenar namun sudah memberi arahan kepada Jabatan Imigresen (JIM) supaya menjalankan siasatan dalaman susulan kejadian itu.

Beliau juga sudah memanggil Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai kejadian yang tular itu.

"Tetapi, siasatan secara dalaman akan saya lakukan, sudah tentu (akan jalankan siasatan) sebab ada video semua, jadi tak boleh nak lari.

"Kalau betul ia berlaku saya akan jelaskan nanti. Puncanya saya tak tahu tetapi adalah berita-berita yang disampaikan kepada saya dan minta jalankan siasatan dengan lebih mendalam.

"Ia supaya kita dapat berita yang lebih jelas apa yang sebenarnya berlaku, sudah tentu (siasatan akan dijalankan oleh Ketua Pengarah Imigresen). Sebab itu saya panggil beliau untuk buat siasatan dengan lebih jelas," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di ibu negara, malam ini.

Mengenai seorang pegawai Imigresen yang didakwa terbabit kejadian dengan pegawai tertinggi kerajaan itu, Hamzah berkata, beliau mengenalinya sebagai seorang yang baik.

"Saya harap kejadian yang tular itu tidak disebarkan tanpa mendapatkan gambaran dan maklumat yang betul bagi mengelak ia merosakkan imej pihak tertentu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Pegawai JIM ditengking: KPISM tuntut permohonan maaf
  • Disiarkan pada: August 3, 2022 @ 11:17pm
    d