mutakhir

Polis tidak terima permohonan perhimpunan 'rider'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur tidak menerima sebarang permohonan berhubung perhimpunan kumpulan penghantar makanan di beberapa lokasi pusat beli-belah di ibu negara, hari ini.

Berdasarkan notis pemberitahuan yang tular, kumpulan itu akan berkumpul di 10 lokasi berbeza termasuk lima di Kuala Lumpur pada jam 4 petang ini, sebelum mereka bergerak secara konvoi ke Ibu Pejabat syarikat penghantaran di Petaling Jaya, Selangor, untuk menyerahkan memorandum.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini polis Kuala Lumpur tidak menerima sebarang permohonan untuk menganjurkan perhimpunan itu.

"Berdasarkan maklumat, lokasi perhimpunan di luar Kuala Lumpur, cuma mungkin ada kumpulan yang akan bermula di Kuala Lumpur.

"Jadi nasihat saya kepada semua warga penghantar, patuhi peraturan dan undang-undang," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Semalam media melaporkan, perkhidmatan penghantar makanan bakal mengalami gangguan selama 24 jam berikutan penghantar makanan merancang melaksanakan mogok kerana tidak puas hati terhadap syarikat pengendali.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor dilaporkan berkata, rancangan itu menunjukkan solidariti penghantar terhadap isu berbangkit yang masih tiada penyelesaian.

Disiarkan pada: August 5, 2022 @ 3:17pm
d