mutakhir

Semarakkan amalan membaca

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Bagi memperkasakan peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan menerusi Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK), amalan membaca perlu dipupuk dan disemarakkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun penggunaan teknologi semakin meluas, rakyat di negara maju masih menjadikan buku sebagai sumber memperoleh ilmu.

Katanya, mengambil pendekatan Merakyatkan Bahasa Kebangsaan dengan membabitkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, beliau percaya agenda murni menyemarakkan bahasa kebangsaan akan dapat dicapai.

"Saya menyokong sepenuhnya usaha memartabatkan bahasa melalui Program DBK ini. Usaha ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang mencintai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Program ini dijalankan secara menyeluruh di semua negeri bagi memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka dan Akta Pelajaran," katanya ketika ucapan perasmian Pesta Buku Negeri Sembilan 2022 dan Program DBK di Seremban 2, semalam.

Aminuddin berkata, turut dilancarkan Program Read and Well Reuse, kolaboratif antara Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan (PPANS) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: August 6, 2022 @ 12:15pm
d