mutakhir

Aniq diberi laluan khas sambung pengajian ke peringkat ijazah

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Mohamad Aniq Kasdan yang memenangi pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Komanwel 2022 mendapat laluan khas untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, inisiatif ini bertujuan menghargai pencapaian beliau yang menaikkan nama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UiTM di peringkat global.

Menurutnya, kelayakan laluan khas ini digunakan melalui Anugerah Kelayakan Akademik (APEL) melalui pengalaman bekerja dan pembelajaran terdahulu yang diluluskan dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, kelayakan ini julung kali diperkenalkan oleh UiTM selepas lebih 20 tahun Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) diperkenalkan dan memenangi pingat emas pertama di peringkat Komanwel.

"Jika sebelum ini setiap pelajar yang berjaya memenangi pingat di peringkat antarabangsa akan dianugerahkan hadiah wang tunai RM1,000 dan selepas ini UiTM bercadang menaikkan jumlah hadiah wang tunai berkenaan," katanya kepada pemberita ketika hadir meraikan kepulangan wira atlet angkat berat negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) UiTM Prof Mohd Anizu Mohd Nor.

Aniq, 20, adalah penuntut diploma pengurusan sukan Pengajian Luar Kampus, FSSR yang dianjurkan dengan kerjasama pintar Majlis Sukan Negeri Johor.

Dia menjuarai kategori 55 kilogram bagi kategori 61kg pada temasya Sukan Komanwel 2022 baru-baru ini.

Roziah berkata, APEL diperkenalkan itu akan turut diberikan kepada penuntut lain yang berjaya memenangi pingat emas di peringkat antarabangsa.

Disiarkan pada: August 6, 2022 @ 10:57pm
d