mutakhir

Gadis mata biru diterima masuk ke PTSS

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Hasrat seorang gadis unik bermata biru untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis, tercapai apabila dia menerima surat tawaran daripada institusi itu, kelmarin.

Umi Aqilah Ahmad Zailani, 19, berkata, dia sangat gembira apabila dihubungi pihak PTSS yang mahu datang sendiri untuk menyerahkan surat tawaran kemasukan ke politeknik berkenaan di rumahnya di Kampung Chenerai, Siong, Baling.

"Sekarang saya sedang membuat beberapa persiapan sebagai persediaan untuk pendaftaran Isnin depan. Kehadiran mereka membuatkan saya lebih bersemangat untuk belajar.

"Di PTSS nanti saya akan dapat belajar menggunakan bahasa isyarat seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar dan Pendidikan Khas Integrasi di Sungai Petani sebelum ini.

"Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita saya menjadi tenaga pengajar dalam bidang kulinari. Walaupun saya ditakdirkan tidak mendengar, tapi saya tetap bersyukur dapat belajar seperti rakan-rakan lain sehingga peringkat tertinggi, terima kasih kepada PTSS kerana memberi peluang kepada saya untuk belajar di sana," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Umi Aqilah dan adiknya Muhammad Safwan, 13, memiliki sepasang mata berwarna biru yang diwarisi daripada bapa mereka, Ahmad Zailani Dollah, 52.

Nenek dan ibu Ahmad Zailani juga bermata biru manakala dua sepupunya memiliki sebelah mata dengan warna sama.

Dua beradik ini sering menjadi perhatian di sekolah terutama rakan-rakan sekelas dan guru yang turut menegur dan minat dengan keunikan mata mereka.

Sementara itu, Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan dalam kenyataan, berkata Umi Aqilah adalah di antara lebih 700 pelajar baharu yang akan mendaftar di PTSS pada pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, surat tawaran kemasukan Umi Aqilah ke program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering sudah disampaikan sendiri oleh Pegawai Pengambilan dan Data PTSS, Syazwani Sobri kelmarin.

"Turut hadir ialah jurubahasa Nor Haslynda Amat Kamisan yang juga pensyarah yang akan mengajar Umi Aqilah dalam program itu nanti.

"Dalam pertemuan ringkas pihak PTSS dengan Umi Aqilah dan keluarganya, beberapa persoalan mengenai hari pendaftaran, dokumen dan keperluan pelajar telah dijelaskan sendiri oleh pegawai kami," katanya.

Selain itu, Abdul Malek berkata, pihak PTSS juga mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan Berita Harian kerana menyiarkan artikel Umi Aqilah sebelum ini, sekali gus menyebarkan wujudnya peluang pengajian kepada golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditawarkan di PTSS.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 12:56pm
d