mutakhir

'Sampai sana bulu roma meremang' [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Rumah terbiar, tempat letak kereta yang sunyi dan kawasan semak sekitar bandar ini antara lokasi dikesan menjadi port penagih dadah untuk melepaskan gian, tidak kira secara individu atau berkumpulan.

Kesemua lokasi berkenaan bukan berada di kawasan terpencil atau jauh daripada penempatan, tetapi berhampiran tempat tumpuan orang ramai sekali gus menimbulkan kegusaran masyarakat setempat memandangkan penagih biasanya boleh bertindak di luar kawalan.

Lebih mengejutkan, ada di antara rumah terbiar berkenaan terletak berdekatan hotel yang menjadi sering pilihan pelancong ke negeri Kelantan.

Malah, lokasi itu langsung tidak terlindung serta hanya beberapa meter daripada tempat letak kereta berdekatan hotel berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di sekitar bandar Kota Bharu mendapati bukan sahaja alatan menagih ditemui, malah bekas sisa ketum dan arak yang bertaburan membuktikan kawasan berkenaan sering dikunjungi 'mat gian'.

Penghantar makanan, Saiful Adha Bakhri, 26, berkata, dia menyedari kewujudan kawasan terbabit kerana pernah menerima serta menghantar pesanan kepada individu yang dipercayai penagih ke sebuah rumah terbiar.

"Rumah itu terletak di jalan keluar sebuah hotel yang mana dari luar memang dilihat seperti kosong tiada penghuni. Saya sendiri meremang bulu roma apabila sampai di lokasi serta mengambil keputusan untuk segera beredar sebaik selesai membuat penghantaran.

"Ketika itu, pelanggan saya adalah dua lelaki yang dilihat tidak begitu terurus tetapi masih boleh berkomunikasi dengan baik.

"Sempat juga saya melihat ke dalam rumah terbiar yang sudah tidak berpintu dan melihat terdapat tin arak dan peralatan seperti digunakan penagih.

"Saya menghantar pesanan terbabit pada lewat petang dan yakin lokasi ini hanya didatangi penagih mengikut waktu tertentu kerana ada masanya rumah berkenaan kosong," katanya yang mula menjadi penghantar makanan di sekitar Kota Bharu sejak lebih setahun lalu.

Dalam tinjauan sama, wartawan turut menemui cebisan penyedut minuman yang dipotong pendek dipercayai untuk diletakkan serbuk dadah jenis heroin serta pil kuda selain plastik dan botol yang digunakan untuk mengisi air ketum di sebuah tempat letak kenderaan bertingkat di bandar ini.

Lokasi terbabit turut menempatkan beberapa premis makanan, kedai emas dan kedai jahit di tingkat dua, manakala di tingkat tiga yang dijadikan tempat letak kenderaan disyaki dijadikan tempat melepaskan gian.

Sebaik menjejakkan kaki ke bahagian parkir, suasana seperti tempat letak kereta biasa yang menempatkan pelbagai jenis kenderaan dan dalam keadaan bersih serta terjaga.

Namun, apa yang mengejutkan, barangan menagih dadah ditemui tersembunyi di sebalik pintu bilik stor berdekatan lif yang sudah rosak di tingkat empat dan lima.

Seorang peniaga di bangunan itu yang mahu dikenali sebagai Mah, 53, berkata, dia jarang sekali naik ke bahagian parkir kerana keadaan yang sunyi selain tiada yang meletakkan kenderaan terutama di tingkat paling atas.

"Saya sendiri tak pernah melihat orang menagih dadah di sini, tetapi ada mendengar daripada rakan niaga lain tempat terbabit (bahagian parkir) ada masanya dijadikan tempat 'mat gian' melepak.

"Kedai saya hanya beroperasi dari 8 pagi sehingga 4 petang, selepas itu keadaan di sini memang agak sunyi selain tidak berpagar membolehkan orang turun naik sewenang-wenangnya," katanya yang turut risau akan keselamatan diri susulan kegiatan tidak bermoral di bangunan berkenaan.

Kewujudan tempat menagih terutama di dalam bandar utama nyata memberi imej buruk selain membahayakan orang sekeliling kerana golongan itu dikhuatiri boleh melakukan sesuatu di luar jangkaan, justeru pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi mengekang masalah ini.

Ikuti penjelasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri Kelantan berhubung isu ini dalam Harian Metro esok.

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 7:01am
d