mutakhir

Misteri 7 kanak-kanak, remaja hilang

Oleh Recqueal Raimi

Kota Belud: Tujuh kanak-kanak dan remaja termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) dikhuatiri hilang di Kampung Kebayau di sini, semalam.

Mangsa terbabit, Freddy Kerinsuk (OKU), 15; Arni Kerinsuk (OKU), 13; Alistar Kerinsuk (OKU), 9; Royce Kerinsuk, 3; Meclorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5.

Kesemua mangsa, empat lelaki dan tiga perempuan itu dilaporkan kali terakhir dilihat pada jam 3 petang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 10.49 malam tadi.

Katanya, seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak semalam ditangguhkan pada jam 1.15 pagi tadi dan disambung semula jam 7.30 pagi, hari ini."

"Operasi turut disertai bantuan unit anjing pengesan (K9) dan lebih 30 penduduk kampung," katanya.

Menurut Muhammad Syazwan, sumber daripada penduduk kampung mengatakan semua mangsa bermain di kawasan kampung berhampiran kedai runcit.

"Sebarang perkembangan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 8:21am
d