mutakhir

Lelaki dituduh semula kerana membunuh

Oleh Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Lelaki yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, semalam kerana mendatangkan kecederaan kepada pengawal keselamatan, dihadapkan ke mahkamah sekali lagi, hari ini atas tuduhan membunuh.

Tertuduh, R Subramaniam, 41, dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan bersalah.

Ia susulan polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai bunuh selepas mangsa, Ismail Ahmad, 58, yang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, sejak Khamis lalu meninggal dunia kira-kira 6 petang semalam.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Fazlina Musa.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam yang tiada pekerjaan tetap didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail di kawasan pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini pada 4.40 petang 4 April lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Arthini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Semalam, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa di Mahkamah Sesyen.

Pengakuan itu dibuat tertuduh di hadapan Hakim Roslan Hamid yang kemudian menetapkan 29 Ogos depan sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kesnya selesai.

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 12:00pm
d