mutakhir

Ikan 'tersenyum' dapat tawaran RM15,000

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Berapa pun harga yang ditawarkan, saya tidak akan menjual ikan arowana istimewa dan unik itu, " kata Khairul Anuar Saat.

Anuar, 38, dari Kampung Alor Lit, Bukit Payong ialah pemilik ikan arowana 'super red' yang cacat pada bahagian mulut seakan sedang tersenyum.

Katanya, ramai peminat ikan arowana dari seluruh negeri menghubunginya untuk membeli ikan arowana istimewa itu sejak ia tular di media sosial.

"Paling tinggi ikan itu ditawar dengan harga RM15,000 oleh seorang peminat arowana super red.

"Sehingga kini saya masih sayangkan ikan itu dan ingin membelanya.

"Saya membeli ikan arowana itu di Indonesia dua tahun lalu dengan harga RM9,500 seekor. Ketika itu ia hanya bersaiz sembilan inci (22.86 sentimeter)," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Tambahnya, ikan arowana istimewa itu pernah mendapat tempat tiga terbaik dalam pertandingan ikan arowana super red kategori ikan arowana unik di Indonesia.

"Bukan senang untuk jumpa dan memiliki ikan arowana yang istimewa seperti itu kerana ia diminati ramai dan harganya lebih mahal berbanding ikan biasa.

"Saya sanggup membeli ikan arowana istimewa itu dengan harga tinggi kerana yakin ia boleh dijual dengan lebih mahal pada masa akan datang.

"Ikan arowana itu mempunyai jangka hayat yang panjang sehingga 40 tahun sekiranya ia dijaga dengan baik justeru nilai ikan itu akan lebih mahal apabila usianya makin meningkat," katanya.

Menurutnya, selain ikan arowana itu dia memiliki lebih 40 ekor koleksi ikan arowana super red yang bernilai lebih RM100,000 yang diimport dari Indonesia.

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 12:05pm
d