mutakhir

Bebaskan dua tahanan syarat gencatan senjata - Nadir Al-Nuri

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pejuang Palestin dan Israel memulakan gencatan senjata semalam dengan Mesir bertindak selaku orang tengah dalam usaha menamatkan peperangan di Gaza yang berlarutan sejak tiga hari lalu.

Pengasas Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri, 35, yang menetap di Gaza berkata, persetujuan gencatan senjata dicapai bermula pada 11.30 malam waktu Palestin (4.30 pagi waktu Malaysia).

"Syarat gencatan senjata ialah pembebasan dua tahanan daripada pimpinan Jihad Islami yang berada di tangan Israel, Khalil Al-Awawdah dan Bassam As-Sa'di serta meringankan kepungan ke atas Gaza dengan membenarkan kemasukan bahan bakar (diesel) untuk kegunaan generator," katanya yang memuat naik situasi semasa di telegram rasminya.

Selain itu, beliau turut mengemas kini jumlah mangsa serangan rejim dengan memetik Kementerian Kesihatan Palestin bahawa seramai 41 orang syuhada (terkorban), 15 daripadanya kanak-kanak dan 311 orang cedera setakat ini.

"Justeru rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan sumbangan kalian melalui link emergency4gaza.com/kecemasan atau terus ke akaun Maybank Cinta Gaza Malaysia 564810507826 ref : kecemasan," katanya.

Sejak Jumaat, Israel melancarkan pengeboman udara dan tembakan artileri menyasarkan kumpulan pejuang Palestin di Gaza, dengan kumpulan pejuang itu melepaskan ratusan roket sebagai tindak balas.

Kejadian itu menyebabkan banyak bangunan di Gaza musnah, manakala warga Israel terpaksa berlindung daripada serangan roket.

Memetik laporan AFP lewat malam tadi, pejabat Perdana Menteri Israel, Yair Lapid mengucapkan terima kasih kepada Mesir atas usaha dan mempersetujui gencatan senjata yang dimeterai, namun memaklumkan sekiranya perjanjian itu dilanggar, Israel akan 'mengambil tindakan tegas bagi mengekalkan haknya'.

Anggota Jihad Islam, Mohammad al-Hindi dalam satu kenyataan turut mengesahkan kumpulan pejuang itu menyambut baik gencatan senjata berkenaan, namun menegaskan mereka juga 'berhak untuk bertindak balas' terhadap sebarang pencerobohan.

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 4:04pm
d