mutakhir

Letak vape pada mulut bayi, lelaki ditahan polis

Oleh Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis menahan lelaki dalam sebuah video yang tular memaparkan seorang bayi perempuan yang mulutnya diletakkan vape di sebuah kedai makan dekat Bandar Baru Uda di sini, dua hari lalu.

Dalam video berdurasi 16 saat itu, kelihatan lelaki berkenaan meletakkan vape di mulut bayi itu sambil ketawa kecil selain turut kedengaran suara wanita seolah terhibur dengan tindakan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video yang tular itu pada 2.56 petang kelmarin dibuat oleh ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan itu.

Siasatan awal dilakukan dan katanya, polis menahan lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai kenalan kepada ibu saudara bayi itu pada 12.45 tengah hari tadi.

"Suspek yang juga seorang peniaga itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Utara (JBU) dan esok, reman akan dipohon di mahkamah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Rupiah berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Mengulas lanjut tentang insiden itu, beliau berkata, ibu bayi berkenaan memaklumkan pada hari kejadian, dia dan anaknya itu berada di kedai makan terbabit bersama adik perempuannya dan suspek lelaki yang juga kenalan adiknya.

"Pengadu memaklumkan, suspek sedang memangku bayi itu dan secara tiba-tiba dengan niat bergurau meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut bayi berkenaan.

"Kejadian itu dirakam adik perempuan pengadu sebelum rakaman itu dimuat naik oleh adiknya di laman media sosial sekali gus menjadi tular.

"Video itu kemudian mendapat kecaman masyarakat di media sosial," katanya.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana perkara yang tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 10:16pm
d