mutakhir

Tak perlu pertikai pindaan Akta Kerja 1955

Oleh Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam berkuat kuasa 1 September depan tidak perlu dipertikaikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak bagi mencapai penyelesaian sekiranya ada persoalan yang timbul kelak.

Beliau merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, sebaliknya tindakan menyebarkan sesuatu pertikaian berkaitan pelaksanaan pindaan berkenaan di media sosial hanya menimbulkan masalah dan kekeliruan.

"Pelaksanaan ini adalah hasil dapatan kajian dibuat termasuk dalam kalangan pekerja, persatuan pekerja dan majikan di mana ia suatu tindakan baik tanpa menjejaskan produktiviti mahu pun kualiti.

"Apa saja kita buat pada peringkat awal, kita boleh duduk dan berbincang sebaliknya bukan dikongsi dalam media sosial kerana ia boleh menimbulkan masalah

"Pindaan ini tidak perlu dipertikaikan kerana ada negara maju yang melaksanakan waktu bekerja 40 jam seminggu, namun produktiviti mereka meningkat," katanya.

Awang berkata, pindaan ini juga membolehkan pekerja menggunakan susunan waktu bekerja yang lebih fleksibel.

"Menerusi peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik Covid-19.

"Kementerian juga sedang mengkaji bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk sistem bekerja dari rumah supaya ia tidak menimbulkan sebarang pertikaian antara majikan dan pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Dokumen antara Educity Iskandar Malaysia dan DOE Training dan Consultancy bagi membangunkan sebuah pusat interaktif keselamatan (Safe Centro) Khas untuk Kanak-kanak dan Remaja yang pertama di Johor di Educity Complex di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Operasi EduCity Iskandar, Profesor Dr Sakina Sofia Baharom dan Pengarah Urusan DOE, Datin Fauzirah Zainun.

Pindaan kepada Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Di bawah peraturan baharu itu, pekerja dibenarkan bekerja mengikut kesesuaian tempat, waktu dan hari bekerja termasuklah bekerja dari rumah ketika situasi kecemasan seperti pandemik Covid-19.

Pindaan berkenaan bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu kerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Sebelum ini media melaporkan, sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia lebih gemar fleksibiliti bekerja berbanding hari kerja yang pendek seperti empat hari seminggu, mengikut tinjauan oleh Qualtrics syarikat berpengalaman mengendalikan tinjauan secara dalam talian.

Secara keseluruhan, di Asia Tenggara keutamaan untuk fleksibiliti adalah sebanyak 60 peratus memilih minggu bekerja yang lebih singkat.

Disiarkan pada: August 11, 2022 @ 1:18pm
d