mutakhir

Penunggang p-hailing tidak dikuatkuasakan miliki GDL [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kira-kira 100,000 penunggang p-hailing boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mengesahkan tiada lesen memandu vokasional (GDL) akan dikuatkuasakan ke atas mereka.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia Zulhelmi Mansor berkata, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan itu ketika sesi dialog di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan kerajaan hanya akan memperkenalkan sistem khas untuk mendaftarkan penghantar p-hailing bagi membolehkan kebajikan dan keadilan mereka diberi perhatian.

Beliau berkata, Ka Siong juga memberi jaminan penghantar p-hailing tidak perlu menjalani pemeriksaan motosikal di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer untuk mendapatkan lesen khas berkenaan.

"Dialog pagi ini memberi jaminan buat komuniti 'rider' yang khuatir jika lesen GDL dilaksanakan tidak lama lagi.

"Jaminan sudah diberikan kerajaan bahawa sistem baharu itu adalah pendaftaran yang membolehkan kerajaan mendapatkan maklumat lanjut jumlah 'rider' bagi menjamin kebajikan dan keadilan buat mereka.

"Dengan penjelasan ini, komuniti 'rider' tidak perlu khuatir kerana bayaran seperti token minimum sahaja akan dikenakan bagi proses pendaftaran," katanya ketika ditemui di Ekspo Teknologi Rel (RTX) 2022 di Kl Sentral, di sini, hari ini.

Zulhelmi turut menyuarakan masalah kadar upah dan peta digital yang tidak seragam sehingga menindas penghantar.

Katanya, Menteri Pengangkutan sudah mengambil maklum perkara itu dan ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Kadar upah lantai dan pemetaan digital yang tidak seragam menyebabkan upah yang diterima 'rider' adakalanya rendah daripada biasa," katanya.

Isnin lalu, dalam satu sidang media khas, Ka Siong memaklumkan Rang Undang-Undang pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan jalan yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bakal menyaksikan penunggang perkhidmatan p-hailling diwajibkan memiliki lesen memandu vokasional.

Beliau dilaporkan berkata, melalui pindaan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), had usia untuk penunggang perkhidmatan penghantaran makanan itu daripada mendapatkan lesen memandu vokasional diturunkan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.

Disiarkan pada: August 11, 2022 @ 3:55pm
d