mutakhir

Putrajaya Berqiamullail Sabtu ini

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mensasarkan 2,000 peserta hadir pada program Putrajaya Berqiamullail di Masjid Putra, Sabtu ini.

JAWI melalui satu kenyataan hari ini memaklumkan program itu diadakan secara kerjasama dengan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan agensi hal ehwal Islam di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bermula 4.30 pagi.

Menurutnya, program siri kedua ini adalah kesinambungan program yang diadakan pada Jun lalu dan akan dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Katanya, pengisian utama program itu ialah qiamullail secara berjemaah yang akan dipimpin oleh qari selebriti Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, solat Subuh berjemaah dan penyampaian Tausiah.

"JAWI menyasar kehadiran jemaah sekitar Putrajaya dan Lembah Klang selaras dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020- 2024.

"Ia bertujuan membudayakan amalan berqiamullail dalam kehidupan seorang muslim di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun pemimpin,"katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, jemaah yang tiba awal boleh beriktikaf di ruangan khas yang disediakan oleh pihak masjid.

Katanya, solat sunat dan ibadah yang dilaksanakan ketika qiamullail merupakan amalan ruhiyyah bagi membina sebuah institusi keluarga yang sejahtera, serta memperkukuhkan jati diri dan memberikan kekuatan kepada para pekerja, pegawai dan kakitangan yang berkhidmat untuk negara.

Disiarkan pada: August 11, 2022 @ 4:35pm
d