mutakhir

Pernah dua bulan hanya makan lempeng, bubur kosong [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: "Serangan angin ahmar kali ketiga menyebabkan saya lumpuh dari paras pinggang ke bawah, selain tangan kiri juga tidak boleh digerakkan, dan lebih perit lagi turut disahkan menghidap kanser usus tahap dua," luah Mohd Nasir Deraman, 49.

Mohd Nasir berkata, susulan daripada itu dia terpaksa berhenti kerja sebagai penoreh getah, malah isterinya, Zainun Mat Hussein, 58, yang bekerja di kedai makan di Kampung Kenor turut berhenti sejak lebih dua bulan lalu demi menguruskan rumah, anak dan menjaganya sepenuh masa.

Katanya, dia yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, dan jantung pernah diserang angin ahmar pada 2013 ketika sedang menunaikan solat berjemaah di masjid dan lumpuh seluruh anggota badan dan pulih sepenuhnya pada Disember tahun yang sama.

Namun, katanya, pada 2016 dia sekali lagi diserang angin ahmar kali kedua menyebabkannya lumpuh sebelah kiri badan dan mengambil masa selama setahun untuk kembali pulih.

"Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, saya tidak menyangka diserang angin ahmar kali ketiga pada April lalu selepas terjatuh di dalam bilik air ketika hendak mengambil wuduk dan keadaan ini menyebabkan saya perlu bergantung sepenuhnya pada isteri.

"Ujian yang datang tidak terhenti setakat itu sahaja apabila saya turut disahkan menghidap penyakit kanser usus tahap dua selepas ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan oleh doktor di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai mengesan ketumbuhan sebesar bola tenis di bahagian kiri perut dan ia semakin membesar," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Batu Balai, di sini, semalam.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan.

Mohd Nasir berkata, selepas dia dan isteri tidak lagi bekerja, mereka sekeluarga hilang mata pencarian dan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan digunakan untuk perubatannya, selain membayar sewa rumah RM120 sebulan serta bil utiliti dan makan minum.

"Bagaimanapun, ada ketikanya kami terpaksa menggalas perut dengan hanya makan lempeng, bubur kosong serta air kosong selama hampir dua bulan apabila terputus bekalan makanan dan apabila ada NGO atau orang sekeliling menghantar makanan, barulah kami dapat merasa lauk ikan dan ayam.

"Meskipun kehidupan kami sekeluarga sekadar cukup makan, saya tetap bersyukur kerana mempunyai isteri yang menjaga serta menguruskannya malah anak-anak juga tidak pernah merungut apabila saya atau isteri tidak dapat menyediakan keperluan mereka seperti orang lain," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, disebabkan kedaifan hidup, dia dan isteri terpaksa menyerahkan anak bongsu kepada saudara terdekat yang tinggal di Kampung Jedok, Tanah Merah untuk dijaga ketika bayi mereka berusia seminggu.

"Namun apa yang membuatkan saya terkilan adalah keluarga angkat anak saya tidak pernah menghubungi kami untuk memberitahu keadaannya, malah sebelum ini saya pernah mencari anak kami di alamat yang diberikan, tetapi tidak ditemui dan difahamkan mereka sudah berpindah.

"Pada ketika ini, anak bongsu kami sudah berusia 13 tahun dan ingin sekali menatap wajahnya yang sudah meningkat dewasa dan berharap dapat berjumpa dengannya sebelum saya atau isteri menutup mata," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 03020-41-00009098-8 atas nama Zainun Mat Hussin atau boleh menghubunginya di talian 014-2130837.

Disiarkan pada: August 14, 2022 @ 2:12pm
d