mutakhir

Gotong royong bantu mangsa ribut

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Bergotong royong membaik pulih dan membersihkan kediaman mangsa ribut di Tanjung Bidara di sini.

Itu semangat ditunjukkan 50 sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) semalam, yang sanggup bermandi peluh membantu mangsa terjejas terutama dikalangan warga emas.

Bermula jam 9 pagi tadi, sukarelawan terbabit dipimpin Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Am YADIM, Iskandar Masnan dan wakil Sekretariat Keluarga Malaysia YADIM, Muqri Zafran Matkhusniza membantu membersihkan enam kediaman mangsa di Kampung Pasir Gembor, Tanjung Bidara.

Selain mencuci lantai kediaman yang kotor, sukarelawan terbabit turut mengumpulkan pelbagai barangan tidak diperlukan mangsa bencana Rabu lalu.

Iskandar berkata, sukarelawan terbabit melaksanakan amal jariah bagi meringankan beban mangsa ribut yang mengalami kerugian akibat kemusnahan bumbung kediaman.

"Kami bersimpati dengan nasib malang menimpa mangsa ribut. Oleh itu kami beramai-ramai membantu mencuci lantai dan membuang barangan tidak diperlukan," katanya ketika membersihkan kediaman, Amirudin Md Taha, 31.

Muqri berkata, selain menyumbangkan tenaga, YADIM turut menghulurkan bantuan RM600 kepada pemilik 10 rumah yang mengalami kerosakan bumbung.

"YADIM juga memberikan pek makanan bernilai RM2,600 untuk semua mangsa terbabit dan meminta mereka bersabar serta reda dengan ujian Allah SWT," katanya.

Sementara itu Amirudin berkata, ketika ribut membadai kediamannya Rabu lalu, dia baharu pulang bekerja sebelum mendapati seluruh bumbung dapur kediamannya diterbangkan angin kencang.

"Saya dan empat adik yang tinggal di rumah ini terpaksa menumpang di rumah kakak di Kampung Ayer Hitam Pantai di sini, bagi membolehkan bumbung kediaman dibaiki," katanya.

Dalam kejadian itu, 50 kediaman penduduk dan bumbung asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) al-Ehya el-Karim turut rosak teruk.

Disiarkan pada: August 14, 2022 @ 3:38pm
d