mutakhir

Isu pengkid pakai ihram: Tindakan tegas perlu dilakukan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pengkid yang memakai ihram semasa menunaikan umrah di Tanah Suci, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, tiada satu alasan pun yang munasabah boleh mewajarkan motif perlakuan sedemikian.

"Tindakan yang tegas ini bukan saja akan memberikan pengajaran kepada pelaku tetapi juga amaran keras kepada individu lain yang berkemungkinan mempunyai niat sama pada masa akan datang.

"Siasatan menyeluruh dan seterusnya pendakwaan perlu segera dilakukan menggunakan akta atau enakmen yang bersesuaian.

"Dalam hal ini, cabaran kepada pihak penguat kuasa adalah memastikan akta atau enakmen itu mempunyai bidang kuasa mencukupi bagi sebarang salah laku yang dilakukan di luar negara oleh rakyat negara ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tuan Kamarul berkata, kerajaan juga perlu mempunyai mekanisme penguatkuasaan dan kawalan mencukupi bagi memastikan perilaku sama tidak berulang.

"Kawalan melalui syarikat operator umrah boleh diperkemaskan selain mengawal selia mereka yang ke tanah suci melalui visa pelancong individu dengan meneliti perkara itu supaya pelaksanaannya lebih berkesan.

"Komuniti melalui masjid dan surau juga perlu lebih proaktif dalam mendampingi individu seumpama ini supaya sistem sokongan yang lebih besar akan membentuk jaringan keselamatan akhlak lebih kukuh," katanya.

Beliau berkata, aspek dakwah dan bimbingan juga perlu diperkasakan kepada setiap orang yang mempunyai kecelaruan jantina seperti individu berkenaan.

"Istilah kecelaruan jantina itu sendiri menunjukkan kumpulan ini mempunyai konflik dalaman diri yang perlu ditangani secara komprehensif tidak sekadar membabitkan tindakan perundangan tetapi sebaliknya secara pendidikan dan bimbingan berterusan.

"Bimbingan dan didikan ini pula tidak hanya terhad kepada individu terbabit tetapi sepatutnya dipanjangkan kepada keluarga yang sewajar membentuk sistem sokongan terdekat bagi tujuan pendidikan dan bimbingan.

"Yadim bersedia untuk menggerakkan ejen dakwah sama ada kumpulan daie, sukarelawan dan rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk sama-sama terbabit dalam usaha ini," katanya.

Katanya, umat Islam perlu berasa sensitif terhadap perkara ini kerana tindakan sedemikian secara terang-terangan mempersendakan ibadah yang istimewa di sisi Islam.

"Tindakan sedemikian adalah satu dosa besar kerana ia melanggar pelbagai hukum agama dan harus dilihat sebagai perbuatan mencemar imej baik negara kita di mata dunia terutamanya dalam kalangan negara umat Islam.

"Ini kerana umat Islam Malaysia sangat terkenal sebagai umat paling berdisiplin dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah di tanah suci. Pastinya tindakan khianat seperti ini sesuatu yang sangat tidak baik kepada nama baik negara," katanya.

Hari ini, Harian Metro melaporkan seorang pengkid dikenali sebagai Mohd Syahid atau Ayid menjerat beberapa wanita dengan berbekalkan janji manis serta perlakuan romantis selain berjanji untuk mengahwini mereka.

Bagaimanapun, tembelang 'lelaki' jadian itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci, baru-baru ini, dimuat naik salah seorang mangsa penipuannya sebelum ia tular di media sosial, kelmarin.

Disiarkan pada: August 14, 2022 @ 4:39pm
d