mutakhir

Polis selamat wanita dipaksa melacur

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menyelamatkan seorang wanita warga asing yang dipaksa menjadi pelacur dalam serbuan di premis di Taman Fadason, Jinjang, di sini, semalam.

Dalam serbuan 11 pagi itu, sepasukan polis dari Balai Polis Jinjang menyerbu premis terbabit yang disyaki menjadi sarang pelacuran.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, seramai 19 orang ditangkap yang mana 18 daripadanya terdiri daripada wanita warga asing berusia antara 25 hingga 39 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Menurutnya, selain itu, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang dipercayai penjaga wanita warga asing.

"Hasil siasatan awal, polis mendapati seorang tangkapan wanita warga asing yang berusia 39 tahun itu dipaksa melacur dan tidak dibayar gaji.

"Mangsa masuk ke Malaysia dua minggu lalu melalui Stulang, Johor untuk bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan (GRO) namun dipaksa menjadi pelacur dan dibawa ke sebuah hotel di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, manakala selebihnya mengaku bekerja sebagai GRO tanpa paksaan dan menerima gaji hasil daripada perkhidmatan ditawarkan.

"Kesemua 17 wanita itu bekerja kira-kira dua tahun di Malaysia dan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Kini kesemua suspek ditahan reman yang mana 17 wanita warga asing ditahan reman selama 14 hari sehingga 27 Ogos ini, manakala lelaki warga tempatan ditahan reman selama enam hari sehingga 19 Ogos ini untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga meluluskan permohonan polis untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari bagi tujuan melindungi dan menempatkan mangsa yang dipaksa menjalankan aktiviti pelacuran di Rumah Perlindungan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana kesalahan memperdagangkan orang bagi tujuan eksploitasi dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2022 @ 5:02pm
d