mutakhir

'Doa kami jasad abah ditemui'

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: "Doa kami sepanjang masa tidak pernah putus supaya jasad abah berjaya ditemui walaupun sudah tidak bernyawa. Kami sudah reda dengan apa yang berlaku," luah Siti Zahratul Amani Ahmad Zamri, 25.

Siti Zahratul Amani adalah anak kepada Ahmad Zamri Ishak, 66, satu-satunya nelayan yang masih hilang selepas bot dinaiki karam, manakala empat lagi ditemui lemas.

Katanya, memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bapanya dihentikan Jumaat lalu, adik beradik serta abang iparnya hari ini mengambil inisiatif turun ke laut bersama penduduk kampung untuk mencari bapa mereka.

"Seawal 8.30 pagi, tiga abang serta seorang abang ipar dengan dibantu penduduk kampung turun ke sekitar Pulau Perhentian sebagai salah satu usaha untuk mencari bapa kami.

"Walaupun sukar, sekurang-kurangnya kami berusaha memandangkan hari ini sudah memasuki hari kelapan abah hilang di laut.

"Besar harapan kami sekeluarga jasad abah ditemui dan kematian abah bertanda. Bagaimanapun, jika Allah takdirkan jasad abah tidak ditemui, kami reda kerana kami sudah berusaha," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Zamri bersama enam rakannya dikatakan keluar ke laut untuk memancing dan memasang bubu 10 malam Ahad lalu sebelum bot dinaiki karam 10 batu nautika dari Pulau Redang.

Susulan kejadian itu, empat nelayan Saludin Ismail, 50; Mohd Nazri Abu Bakar, 48; Zulkifli Umar, 48 dan Raja Zainuddin Raja Ibrahim, 49, ditemui lemas dan Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, ditemui selamat.

Disiarkan pada: August 15, 2022 @ 12:56pm
d