mutakhir

Fenomena ikan bilis terdampar mungkin akibat perubahan suhu air laut

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Nelayan mendakwa hasil tangkapan ikan bilis meningkat sejak dua hingga tiga hari sebelum fenomena ikan itu terdampar di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini baru-baru ini.

Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim berkata, maklumat diperolehi hasil pemantauan pihaknya yang turun ke lokasi semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, anak ikan tamban terdampar di pantai berkenaan dalam kuantiti yang sedikit pada Jumaat lalu, manakala keesokannya ikan bilis pula, kira-kira 7.30 malam.

"Anggaran ikan bilis yang dikutip oleh pengunjung adalah lebih dua kilogram di pantai Pasir Bogak sepanjang 500 meter. Ikan hanya terdampar di pantai berkenaan saja.

"Nelayan memaklumkan kemungkinan ikan besar terutama ikan alu-alu mengejar dan memakan ikan bilis menyebabkan ia melompat ke pantai selain ada kemungkinan lambakan itu disebabkan cahaya lampu di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noraishah berkata, berdasarkan kajian saintifik ada tiga faktor yang menyebabkan ikan bilis naik ke pantai iaitu perubahan drastik suhu air laut, pertumbuhan alga dan plankton serta arus dan gelombang yang tinggi.

"Kita berpandangan dasar Pengezonan Semula Kawasan Penangkapan Ikan Di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pada 2016 yang mewujudkan Zon Konservasi iaitu kawasan pembiakan ikan dari pantai hingga 1.0 batu nautika dengan melarang sebarang aktiviti menangkap ikan menampakkan kejayaan dengan penambahan ikan bilis.

"Bagaimanapun, kita akan memantau kejadian ini dari masa ke semasa," katanya.

Semalam media melaporkan, ikan bilis mata biru yang sinonim dengan Pulau Pangkor, yang terdampar di pantai Pasir Bogak di sini, pada Jumaat dan Sabtu lalu, mencetus tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Disiarkan pada: August 16, 2022 @ 12:16pm
d