mutakhir

Kelantan tidak akan kompaun pemilik premis gagal kibar Jalur Gemilang [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengenakan tindakan penguatkuasaan atau kompaun terhadap pemilik premis yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, sempena Bulan Kemerdekaan, semua rakyat dan pemilik premis digalak mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera Kelantan bagi menzahirkan rasa sayang kepada negara juga negeri.

Katanya, bagaimanapun, setakat ini masih belum ada premis yang dikenakan kompaun, namun pihaknya menggalakkan mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

"Dalam mesyuarat EXCO yang akan diadakan nanti, belum tahu lagi sama ada hendak mengenakan kompaun atau tidak dan ia akan dinilai semula.

"Setakat ini, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memasang Jalur Gemilang di premis masing-masing," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Penutupan Kempen Kesihatan Tahun 2022 dan Kempen Bebas Plastik, Polistren dan Straw di Dataran Muhamadi di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Rosnazli Amin.

Media semalam melaporkan, hampir 85 peratus premis di sekitar Bandaraya Kuantan di Pahang belum dihiasi atau mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan Negeri Pahang dan Hari Malaysia pada September depan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Norkamawati Kamal berkata, trend Jalur Gemilang tidak dikibarkan di premis perniagaan bukan perkara baharu dan ia sudah berlaku beberapa tahun sejak kebelakangan ini.

Setakat ini, hanya 15 peratus sahaja premis yang memasang Jalur Gemilang dan bakinya sekitar 85 peratus lagi masih tidak berbuat demikian walaupun arahan sudah lama dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, peniaga makanan disaran untuk menggunakan bekas plastik yang boleh dikitar semula disebabkan polistren dan penyedut minuman plastik memberi kesan negatif kepada persekitaran dalam jangka masa panjang.

"Secara umumnya, plastik yang digunakan ini mengambil tempoh beratus tahun untuk terurai sepenuhnya dan bahan yang digunakannya juga boleh menyebabkan penyakit barah terutamanya barah usus," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2022 @ 2:33pm
d