mutakhir

Bersama banteras kegiatan lombong emas haram

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan kelestarian alam sekitar tidak digugat dengan pelbagai aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha menyekat aktiviti yang menjejaskan alam sekitar akan terus dilakukan oleh agensi penguat kuasa di semua peringkat.

Menurutnya, kegiatan melombong emas tanpa lesen misalnya bukan sahaja menyebabkan berlakunya kejadian hakisan dan pencemaran sumber air, tetapi turut menyebabkan kerugian hasil cukai yang sepatutnya kerajaan negeri terima.

"Tindakan tegas perlu terus diambil terhadap pihak yang terbabit dengan aktiviti yang mengundang kepada pencemaran serta kemusnahan alam sekitar, perbuatan mereka menimbulkan masalah pada banyak pihak.

"Justeru, agensi penguat kuasa di semua peringkat perlu lebih peka dan aktif menyekat kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan kegiatan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis yang disiarkan akhbar ini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, dia memuji kesungguhan JPNP yang sentiasa berusaha membanteras aktiviti melombong emas tanpa lesen terutama dalam kawasan hutan simpan di negeri ini, khususnya di tiga daerah iaitu Rompin, Raub dan Lipis, yang terbukti kaya dengan galian berharga itu.

Katanya, Muadzam Shah, Lipis dan Raub perut buminya dianugerahkan dengan emas sejak dahulu lagi, faktor berkenaan mendorong pihak tidak bertanggungjawab menceroboh hutan semata-mata untuk melombong emas.

"Saya berharap JPNP dapat terus mempergiatkan usaha menyekat kegiatan melombong emas tanpa lesen bagi menjaga alam sekitar seterusnya mengelak kerajaan kehilangan hasil setiap tahun.

"Kerjasama antara agensi kerajaan lain termasuk dengan JPNP perlu dipertingkatkan dalam memudahkan usaha mengesan aktiviti yang menyalahi undang-undang yang berlaku dalam hutan simpan dan tanah kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2022 @ 5:30pm
d