mutakhir

Kaji keperluan beri bantuan SKSSR kepada suami jadi 'suri rumah' [METROTV]

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengkaji sama ada perlu memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada golongan suami yang menjadi 'suri rumah'.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara itu memerlukan kajian mendalam untuk mengenal pasti sama ada ia satu keperluan untuk dilaksanakan berikutan majoriti suami bekerja.

"Kita perlu satu kajian mengenal pasti berapa ramai suami menjadi suri rumah tangga. Kalau ikut budaya kita, majoriti suami bekerja dan isteri menjaga rumah tangga tetapi kita akan mulakan (SKSSR) dengan kaum wanita dan akan kaji secara mendalam apakah keperluan (untuk lelaki suri rumah).

"Sekiranya keperluan itu mendesak, kita tiada masalah memperluaskan kepada mana-mana pihak khususnya kepada kaum bapa menjadi suri rumah tangga. Tetapi kita lihat keseluruhan budaya dan gaya hidup negara kita angka itu memang bukan begitu tinggi," katanya pada sidang media di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Melalui SKSSR, katanya, suami boleh mencarum untuk isteri secara sukarela dan tiada tindakan untuk mereka yang gagal melaksanakannya.

"Ia secara sukarela, tetapi suami yang sudah mencarum jika tidak teruskan boleh dikenakan denda RM10,000. Tetapi kalau suami tidak mampu lagi contohnya hilang pendapatan, bercerai atau sebagainya masih diberi kelonggaran dengan memohon kepada Perkeso dalam tempoh 60 hari atas sebab tertentu maka boleh dikecualikan.

"Bagi yang berpoligami pula, terpulang jika suami mampu buatlah carum untuk isteri-isteri," katanya.

Dalam pada itu katanya, peningkatan had maksimum siling gaji bulanan daripada RM4,000 kepada RM5,000 bagi caruman satu langkah untuk membela nasib pekerja dengan mengambil kira situasi semasa kos sara hidup semakin tinggi.

"Kalau kita lihat keseluruhan sejak 1971 siling gaji tidak berubah, jadi sekarang sampai masa kita pastikan nasib tenaga kerja dibela," katanya.

Beliau berkata, SKSSR akan dikuatkuasakan 1 Disember ini manakala peningkatan had siling gaji pada 1 September ini.

Untuk rekod, SKSSR dilaksanakan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat 25 Julai lalu bagi menjaga kebajikan suri rumah akibat berlaku sebarang kejadian ketika menguruskan rumah tangga serta melindungi mereka daripada penyakit yang menjejaskan rutinnya.

Disiarkan pada: August 17, 2022 @ 5:28pm
d