mutakhir

Pengeluaran Khas LTAT RM500 [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) boleh membuat Pengeluaran Khas Jubli Emas dengan jumlah maksimum RM500 bagi meringankan beban kewangan mereka.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengeluaran khas itu sebagai manfaat tambahan dan insentif bagi membantu menangani beban kewangan pencarum.

Menurutnya, jumlah maksimum pengeluaran yang ditawarkan adalah RM500 secara 'one off'.

"Permohonan pengeluaran boleh dibuat melalui aplikasi MyWira mulai 10 Oktober ini dan akan ditutup pada 19 Disember ini.

"Pembayaran pertama pula akan dilaksanakan bermula 19 Disember hingga 23 Disember," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan sambutan Jubli Emas yang ke-50 tahun dengan tema Transformasi Nadi LTAT di Auditorium Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri lkmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Sri Muez Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Pengerusi LTAT Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (Bersara) dan Ketua Eksekutif LTAT Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata, sambutan Jubli Emas ini memberi peluang kepada LTAT untuk mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan utamanya iaitu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memberikan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada LTAT.

"Ia juga sebagai penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan atas dedikasi, sumbangan dan komitmen mereka dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada pencarum.

"Sambutan Jubli Emas ini juga adalah untuk mengiktiraf peranan LTAT dan syarikat Kumpulan LTAT seperti Kumpulan Boustead, Kumpulan Affin dan Pharmaniaga Bhd serta impak yang dibawa terutama kepada pencarum LTAT sepanjang 50 tahun lalu serta perancangan masa depan LTAT dalam meneruskan perjalanan transformasinya ke arah menjadi dana persaraan yang mampan dan berdaya saing," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2022 @ 5:36pm
d