mutakhir

Program iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur diteruskan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Program iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur yang menyediakan peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan melalui platform foodpanda Malaysia sekali gus membantu peserta dalam kalangan keluarga B40 dan asnaf menjana pendapatan yang konsisten akan diteruskan untuk ke fasa kedua selepas mendapat sambutan menggalakkan pada fasa pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, bagi fasa kedua pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia dengan objektif untuk memperkasa instrumen wakaf yang akan digunakan untuk membiayai program itu.

Beliau berkata, CIMB Islamic Bank dan Yayasan Waqaf Malaysia komited bersama menyumbang dana wakaf sebanyak RM300,000 sebagai dana pemula atau seed fund untuk merealisasikan program berkenaan.

"Yayasan Belia Malaysia pula akan bertindak selaku penyelaras program yang bertanggungjawab mengurus pembelian dan penyerahan motosikal, kebajikan peserta sekali gus menjalin kerjasama rapat dengan Taylor's Community selaku penyedia program latihan dan foodpanda Malaysia, platform rasmi penghantaran makanan.

"Dengan dana wakaf terkumpul sebanyak RM300,000 ini, kami mensasarkan untuk melatih dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 50 peserta program berbanding 40 peserta pada program yang lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Program CIMB Islamic Rider Entrepreneur 2022 antara CIMB Islamic Bank Berhad, Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Belia Malaysia di Menara CIMB, di sini, hari ini.

Majlis disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary itu turut dihadiri Pengerusi CIMB Islamic Bank Datuk Mohamed Ross Mohd Din, Pengerusi Yayasan Belia Malaysia Datuk Dr Suhaimi Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Belia Malaysia Datuk Mustapa Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia Prof Dr Amir Shaharuddin.

Ahmad Shahriman berkata, peserta yang layak akan dilatih dan seterusnya memulakan pekerjaan bersama foodpanda Malaysia selama 12 bulan dengan coaching dan pemantauan berterusan.

"Selepas berkhidmat selama 12 bulan sebagai rider foodpanda Malaysia, motosikal wakaf yang digunakan oleh peserta akan dihibahkan kepada mereka dengan pilihan sama ada untuk terus mencari rezeki bersama foodpanda Malaysia selepas tamat program atau memulakan perniagaan sendiri dengan ilmu keusahawan yang telah diberikan.

"Kepada yang berminat untuk berniaga, kami akan menyenaraikan mereka di dalam program lanjutan seperti CIMB MicroBiz Ready atau Program Keusahawanan CIMB Islamic - Taylors serta peluang untuk memohon modal perniagaan melalui dana Kemudahan Perusahaan Mikro ("MEF") yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia atau pembiayaan mikro khas atau geran perniagaan yang disediakan oleh CIMB Islamic Bank," katanya.

Beliau berkata, program iTekad CIMB Islamic Rider Entrepreneur dirintis oleh pihaknya dengan penganjuran pada Julai 2021 untuk fasa pertama menerusi sokongan rakan strategik iaitu Yayasan Belia Malaysia, Taylor's Community dan foodpanda Malaysia.

"Program ini adalah sebahagian daripada program teras yang diberi nama iTekad iaitu sebuah program kewangan sosial yang digagaskan oleh Bank Negara Malaysia.

"CIMB Islamic Bank adalah satu daripada tiga institusi kewangan Islam tempatan yang menyokong dan telah mengambil bahagian dengan hasrat untuk membantu individu berpotensi dari golongan sasaran yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di sekitar Lembah Klang," katanya.

Disiarkan pada: August 17, 2022 @ 8:30pm
d