mutakhir

Permohonan peguam Najib tarik diri ditolak [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dengan tegas memutuskan bahawa mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk menolak permohonan peguam menarik diri apabila ia boleh menganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

Menurutnya, Hisyam gagal mengemukakan alasan yang kukuh untuk menarik diri daripada mewakili Najib dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

"Ia menjadi tanggungjawab mahkamah untuk melindungi hak orang yang dituduh berlandaskan sistem kehakiman.

"Penarikan diri peguam mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah yang sepatutnya.

"Peguam boleh menarik diri apabila dapat menunjukkan alasan yang cukup untuk berbuat demikian. Oleh itu kami sebulat suara berpendapat peguam gagal berbuat demikian dan permohonan ini ditolak. Peguam bela kekal dalam rekod demi kepentingan keadilan," katanya.

Sementara itu, Hisyam apabila ditanya Tengku Maimun sama ada mahu mengemukakan sebarang hujah lanjutan beliau mengatakan tidak.

Mahkamah kemudian mengarahkan prosiding diteruskan dengan hujah pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 11:57am
d