mutakhir

Didenda RM20,000 menggajikan dua wanita warga asing [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Perbuatan seorang lelaki menggajikan dua wanita warga asing sebagai tukang urut tanpa permit sah menerima balasan apabila didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Thong Hang Seng,49, dan mensabitkannya seperti pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Mohd Sabri memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Hang Seng didakwa menggaji dua perempuan warga negara Thailand iaitu Siriporn Konkuntod dan Duangmani Chaisri yang tidak mempunyai permit sah untuk bekerja dan memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Temasek Traditional Massage Level G No 57, Jalan Dalbuquerque, Perkampungan Portugis Ujong Pasir, dekat sini, pada 2 Ogos lalu, kira-kira jam 8 malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 Pindaan 2002 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan bagi setiap pekerja.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes pengadu seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menahan tertuduh bersama dua wanita terbabit menerusi pemeriksaan dan serbuan di premis terbabit.

Hasil semakan Jabatan Imigresen Melaka dan Putrajaya mendapati dua wanita terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial dan digaji oleh tertuduh tanpa permit.

Terdahulu, Muhammad Nazrin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira fakta kes.

Tertuduh bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan perniagaannya tidak begitu bagus kesan daripada pandemik Covid-19 dan baru empat bulan beroperasi semula.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 3:25pm
d