mutakhir

'Kekok selepas 4 tahun tak ke sekolah' - Yumn Nakyeishaa [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: "Hari pertama datang ke sekolah selepas empat tahun memang berasa kekok dan sukar tetapi atas keprihatinan rakan-rakan dan guru yang mengetahui kisah kami menjadikan semua perasaan itu dapat diatasi," kata Yumn Nakyeishaa Amir Hamzah.

Yumn Nakyeishaa, 16, dan adiknya, Dahnea Dabryshaa, 14, gembira dan teruja dapat kembali ke sekolah selepas lama tercicir dalam pelajaran disebabkan kesempitan hidup dialami keluarga mereka.

Menurutnya, dia dan adiknya yang memulakan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Kastam di sini, sejak kelmarin mengayuh basikal lebih satu kilometer (km) dari rumahnya di Pangsapuri Melur untuk ke sekolah berkenaan.

"Basikal itu dihadiahkan jiran kami yang ingin membantu kami ke sekolah kerana sebelum ini antara sebab kami tidak ke sekolah juga disebabkan tidak mempunyai pengangkutan.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami termasuk bantuan guru serta rakan-rakan kami di sekolah ini sekali gus membuatkan kami bersemangat untuk menghabiskan sesi persekolahan," katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Jermal Soon Lip Chee turut hadir menyerahkan bantuan buku rujukan kepada Yumn Nakyeishaa.

Menurutnya, beliau memohon semua pihak dapat memberi sokongan dan bantuan terhadap dua beradik itu tanpa memandang rendah kepada mereka susulan masalah dihadapi keluarga berkenaan.

"Mereka berdua (Yumn Nakyeishaa dan Dahnea Dabryshaa) sudah banyak tertinggal dalam pelajaran dan bukan mudah untuk mereka 'catch up' (kejar) apa yang pelajar lain sudah pelajari.

"Jadi, saya meminta terus memberikan sokongan dan tunjuk ajar kepada dua beradik ini yang saya juga akan mencari beberapa kelas tambahan sama ada secara fizikal atau dalam talian supaya mereka berdua dapat masuk belajar.

"Dari segi keselamatan, saya juga akan mempertimbangkan kemudahan pengangkutan seperti van atau sebagainya kepada dua beradik ini jika diperlukan kerana mereka ketika ini memilih ke sekolah dengan hanya mengayuh basikal," katanya.

Minggu lalu, media melaporkan dua beradik yang tercicir dalam pelajaran disebabkan kesempitan hidup sehingga terpaksa berhenti sekolah sejak empat tahun lalu menerima surat tawaran untuk kembali bersekolah.

Surat tawaran itu disampaikan Ketua Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) Datuk Zulkafli Kamaruddin.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 4:13pm
d