mutakhir

3 kolam air di puncak Gunung Inas akan dimusnahkan [METROTV]

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Baling: Tiga kolam takungan air bersaiz gelanggang futsal di puncak Gunung Inas akan dimusnahkan dalam tempoh terdekat berikutan ia didapati boleh menyebabkan bahaya kepada penduduk sekitar.

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau sudah merujuk masalah itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berjanji akan menyelesaikannya segera.

Katanya, keputusan sudah dibuat bagi membolehkan tiga kolam yang dibina syarikat ladang durian Musang King terbabit dirobohkan demi memastikan keselamatan penduduk.

"Cuma keadaannya ketika ini, kita perlu mencari kaedah bagaimana kolam terbabit dapat diroboh dan dimusnah tanpa menyebabkan masalah lain kepada penduduk kampung di sekitar Kampung Iboi.

"Kita tidak boleh mengambil tindakan tanpa kajian terperinci kerana bimbang air kolam boleh mengakibatkan kepala air berlaku lagi jika alirannya dilepaskan ke Sungai Kupang begitu sahaja.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi lain sudah meninjau keadaan kawasan terbabit dan keputusan mengenai kaedah terbaik memusnahkan kolam akan dibuat mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Penyerahan Dana Sumbangan Tabung Bencana Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) yang turut dihadiri Presiden Pekida Datuk Mohd Foad Mat Isa.

Sebelum ini, kewujudan kolam dan tandak air di sekitar Gunung Inas dilaporkan berisiko pecah pada bila-bila masa sekiranya berlaku hujan lebat di puncak gunung berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, beliau tidak pernah menuding jari kepada sesiapa yang dikatakan menjadi punca kepada kejadian bencana banjir lumpur dan aliran puing di Kampung Iboi bulan lalu.

Katanya, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha memulihkan infrastruktur yang rosak dan membantu penduduk yang terjejas akibat bencana yang berlaku.

"Apa yang penting kita perlu cari kaedah selesaikan semua masalah ini seperti yang dirancang Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

"Cuma kita masih bimbang keadaan di Kampung Iboi masih umpama bom jangka kerana cuaca hujan berlaku agak kerap dan penduduk akan lari ke masjid berikutan masih dalam kebimbangan," katanya.

Dalam kejadian bencana pada 4 Julai lalu, tiga nyawa penduduk terkorban dan lebih 1,000 rumah terjejas akibat banjir lumpur dan aliran puing yang turut meranapkan 18 rumah.

Disiarkan pada: August 21, 2022 @ 4:14pm
d