mutakhir

Simpan duit di usia muda, elak kekecewaan

Oleh Nurshafika Suhaimi

MENABUNG atau menyimpan wang bukanlah sesuatu yang mudah terutama dalam kalangan generasi muda hari ini. 

Dengan kos sara hidup tinggi yang tidak selaras dengan pendapatan diterima, terpaksa menjelaskan pelbagai bil, serta menampung keluarga menjadikan rakyat tidak memiliki baki gaji untuk disimpan. 

Menurut laporan kajian Bank Negara Malaysia (BNM), 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan RM1,000.

Keadaan ini sebenarnya sangat membimbangkan untuk menghadapi cabaran mendatang yang tidak diduga  terutama di hari tua kelak. 

Bagaimanapun, terdapat pelbagai cara pengurusan wang dikongsi pakar-pakar kewangan yang boleh diikuti.

Paling penting, adalah azam dan matlamat, pasti anda dapat amalkan sikap menabung dengan lebih bijak selepas ini.

Formula urus duit gaji setiap bulan

Ramai rakyat Malaysia berpendapat bahawa mereka perlu menyimpan jika mempunyai lebihan wang sahaja. 

Sebenarnya, anda juga boleh menyimpan walau sedikit jika memahami konsep simpanan asas seperti formula uruskan gaji setiap bulan.

Antara peraturan yang boleh dipertimbangkan adalah menyimpan 10 peratus daripada gaji. Lebih banyak, lebih baik. Namun lebih baik daripada tiada langsung ke tabungan. 

Simpan baki wang setiap hari

Setiap kali berbelanja pasti mempunyai baki wang. Dengan baki wang berkenaan, anda boleh membuat tabungan kecil khas untuk baki wang sahaja. Segala baki perbelanjaan harian, wajib ke dalam tabung.

Dalam tidak sedar, cara ini secara tidak langsung membuatkan anda mempunyai wang simpanan tanpa dirancang. 

Disiplin urus duit

Disiplin yang tinggi merupakan asas terpenting dalam mencapai kejayaan penyimpanan wang. Penyimpanan secara konsisten dapat mencapai matlamat penyimpanan wang dengan baik.

Jika anda tekad, sudah pasti perbelanjaan anda lebih terkawal.

Menabung di tempat yang betul

Masyarakat hari ini sering berpendapat bahawa menyimpan wang hanya di bank sahaja. Bagaimanapun, terdapat pelbagai tempat untuk menyimpan dan antaranya di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Selain jaminan wang persaraan di hari tua kelak, KWSP juga menawarkan pelbagai manfaat lain yang lebih baik daripada bank seperti dividen yang kompetitif. 

Tahun ini, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah untuk 2021.

Ini sekali gus dapat menambah dana simpanan sedia ada. 

Selain itu, KWSP turut menawarkan manfaat lain antaranya ialah pelepasan cukai pendapatan, serta bantuan khairat kematian sebagai tanda simpati terhadap waris terdekat ahli (atas budi bicara KWSP).

Terbaharu, KWSP memperkenalkan i-Lindung yang menawarkan pelan perlindungan yang boleh diperbaharui secara tahunan, dan bayaran akan ditolak terus dari Akaun 2 KWSP.

Hanya bayar satu kali untuk perlindungan selama setahun, ahli tidak perlu risau polisi insurans atau takaful terbatal jika terlupa untuk membuat pembayaran bulanan.

Ini merupakan usaha tambahan pihak KWSP untuk memberikan pilihan terbaik kepada masa depan pencarum.

Apabila memiliki perlindungan insurans atau takaful, sedikit-sebanyak dapat membantu pencarum sekiranya berhadapan dengan situasi sukar seperti dana kecemasan yang tidak mencukupi.

Di samping itu, pelan perlindungan di bawah i-Lindung tidak terhad kepada rawatan penyakit kritikal, namun turut menawarkan perlindungan hayat (nyawa) serta Hilang Upaya kekal (TPD). 

Dalam pada itu, KWSP turut menasihati agar orang ramai yang menggunakan simpanan KWSP supaya konsisten dalam mencarum bagi memulihkan semula dana simpanan demi masa depan persaraan.

Penggunaan simpanan KWSP yang dibenarkan buat masa ini termasuklah bagi tujuan perumahan, pendidikan, kesihatan dan baru-baru ini i-Lindung. 

Justeru itu, KWSP menggalakkan orang ramai untuk menyimpan awal dan sebanyak mungkin agar dapat menikmati hasil simpanan yang banyak selepas mereka bersara berbanding mereka yang lambat menyimpan. 

Ahli boleh mula merancang penyimpanan sekarang dengan kalkulator Simpanan KWSP yang disediakan untuk mengira jumlah simpanan yang diperolehi apabila mereka bersara.

Dengan manfaat ditawarkan, KWSP merupakan tempat penyimpanan wang terbaik dan seterusnya menjamin masa depan lebih cerah.

Disiarkan pada: August 22, 2022 @ 9:50am
d