mutakhir

Selebriti perlu tunjuk teladan baik

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru supaya semua selebriti di Malaysia membawa teladan yang positif dan perlu berhati-hati dalam segala bentuk perbuatan terutama di khalayak umum.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Latihan dan Kepimpinan MBM Amir Syarifuddin Abdul Majid berkata, sebagai selebriti, sepatutnya mereka perlu turut sama membantu kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan perbuatan merokok dan vape dapat dijadikan sebagai satu budaya yang ditolak oleh masyarakat.

Menurutnya, tabiat merokok dan vape sememangnya mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kepada diri perokok dan orang yang berada di sekeliling.

"Apabila sesuatu tingkah laku negatif melibatkan seorang selebriti yang terkenal maka secara tidak langsung membawa pengaruh kepada peminat mereka khususnya terdiri dalam kalangan golongan remaja.

"Justeru selebriti perlu mempunyai kawalan diri yang kuat bagi memastikan tingkah laku negatif itu tidak menjadi ikutan yang merosakkan generasi muda negara," katanya.

Beliau mengulas video tular kelakuan penyanyi Noh Salleh yang dilihat memegang sebatang rokok tidak dinyalakan ketika muncul di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) di ibu negara, baru-baru ini.

Sebelum ini, Noh yang juga penyanyi kumpulan Hujan pernah mencetus sensasi gara-gara selamba menghisap rokok elektronik ketika ditemubual media dalam sebuah acara sekitar Julai lalu.

Noh yang pada ketika itu ditanya mengenai spekulasi keretakan rumah tangganya bersama Mizz Nina menghembuskan asap rokok elektronik di hadapan wartawan yang mengerumuninya.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Julai 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata tetapi mereka mengambil seorang anak angkat bernama Musa sekitar April lalu.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan Noh dan Mizz Nina bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur.

Disiarkan pada: August 23, 2022 @ 11:39pm
d