mutakhir

Najib ke Mahkamah Tinggi esok untuk bicara kes 1MDB

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Baru dua hari menjalani hukuman penjara, Datuk Seri Najib Razak akan hadir di Mahkamah Tinggi di sini, esok bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Difahamkan Perintah Kehadiran (OTP) sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah supaya bekas perdana menteri itu hadir perbicaraan itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding esok akan bersambung dengan mahkamah mendengar keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang akan diperiksa semula oleh pendakwaan.

Sehari kemudian, Najib sekali lagi akan dibawa dari penjara ke mahkamah tinggi bagi perbicaraan kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Disiarkan pada: August 24, 2022 @ 6:52pm
d