mutakhir

Murid cipta robot tarik tali

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Pertandingan robot tarik tali antara acara diadakan sempena pertandingan robotik peringkat sekolah rendah daerah ini di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pelak di sini, semalam.

Program sehari itu membabitkan penyertaan kira-kira 90 murid tahun lima dan enam yang dibahagikan kepada lima kumpulan.

Setiap murid pula akan dibantu ibu bapa dan guru.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan Mohd Razali Mustafar berkata, pertandingan robotik antara acara yang dipertandingkan sempena program Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (Stem) peringkat daerah ini.

Menurutnya, acara lain yang dipertandingkan ialah reka cipta lego membabitkan 13 pasukan disertai murid tahun satu hingga tiga dan reka cipta taman haiwan disertai enam pasukan peserta terdiri daripada murid pra sekolah.

"Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan syarikat swasta yang terbabit dalam bidang elektronik turut membantu dalam melancarkan lagi setiap aktiviti.

"Pada masa sama, pameran elektronik turut diadakan sempena pertandingan itu," katanya.

Beliau berkata, dengan penganjuran pertandingan Stem, diharapkan ia dapat menarik minat lebih ramai murid terhadap robotik selepas ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Pelak Mazni Mohamed @ Ibrahim berkata, sokongan ibu bapa terhadap pertandingan yang diadakan begitu menggalakkan malah mereka duduk bersama murid bagi menghasilkan robot.

"Lebih 90 ibu bapa terbabit membantu anak mereka menghasilkan robot dan reka cipta lego. Ia turut dibantu 12 guru SK Pelak dan kakitangan UMP.

"Kami berpuas hati dengan kejayaan pertandingan ini. Status sekolah luar bandar bukan penghalang untuk kami mengadakan program ini," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2022 @ 12:48pm
d