mutakhir

Hanya lakonan, latihan simulasi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Video tular memaparkan kejadian tukang masak dan petugas hospital bergaduh sehingga cedera hanyalah lakonan bagi latihan simulasi yang dijalankan Hospital Taiping di sini.

Video berdurasi 33 saat yang tular di media sosial sejak semalam itu memaparkan seorang mangsa lelaki ditusuk pisau pada kanan dada manakala seorang lagi mangsa lelaki kelihatan melecur dikatakan disiram minyak masak panas.

Kelihatan mangsa dibawa menaiki pengusung ke arah ambulans oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan pasukan Bomba dan Penyelamat.

Video yang tular dan dikongsikan di pelbagai platform media sosial, mencetuskan kegemparan orang awam yang rata-ratanya menyangka kejadian yang berlaku benar.

Bagaimanapun Harian Metro masih menunggu laporan rasmi dari Hospital Taiping berhubung kejadian simulasi terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Razlam Ab Hamid ketika dihubungi berkata, kejadian itu hanyalah latihan simulasi yang dibuat Hospital Taiping semalam dan hari ini.

Disiarkan pada: August 25, 2022 @ 12:54pm
d