mutakhir

Tun M yakin Najib terima pengampunan

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad kesal kes perbicaraan Datuk Seri Najib Razak berhubung

penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd mengambil masa lama untuk diselesaikan.

Dr Mahathir berkata, kes berkenaan yang berlarutan sehingga empat tahun itu mengakibatkan banyak kes membabitkan ahli politik lain tertangguh.

"Ada pepatah Inggeris yang berkata 'justice delayed is justice denied' yang boleh kita terjemah sebagai keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.

"Kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang (empat tahun), banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan ramai tokoh-tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.

"Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kini katanya, Najib menjalani perbicaraan kes lain yang turut akan mengambil masa panjang.

"Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.

"Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan," katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, banyak laporan kes rasuah serius yang belum dibicarakan.

"Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan mereka," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin Najib akan mendapat pengampunan.

"Bagi (kes) Najib, besar kemungkinan dia akan diampun setelah (selepas) dipenjara," katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2022 @ 12:59pm
d