mutakhir

JAIS masih siasat ajaran sesat Hadi Minallah

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang memperincikan siasatan berkaitan ajaran sesat Hadi Minallah dan laporan mengenainya akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, siasatan JAIS turut mengambil kira sama ada ajaran itu membabitkan warga tempatan atau sebaliknya.

"Kita setakat ini masih menunggu siasatan dan laporan penuh berkenaan ajaran sesat terbabit.

"Kenyataan rasmi mengenai perkara ini akan dikeluarkan JAIS dalam tempoh terdekat," katanya selepas merasmikan Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di sini, hari ini.

Difahamkan, JAIS membentangkan laporan terkini ajaran Hadi Minallah dalam mesyuarat Jawatan Kuasa Pengawalan Akidah hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, bahawa penyebaran ajaran sesat itu turut dikesan di Selangor, Johor dan Kedah.

Menurutnya, siasatan lanjut dilakukan berhubung ajaran sesat tiga negeri itu bagi tujuan pendakwaan sekiranya boleh disabitkan dan segala tindakan diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing.

Disiarkan pada: August 25, 2022 @ 2:31pm
d