mutakhir

Peneroka Felda harmoni bersama

Oleh BERNAMA

Kuantan: Ibarat keluarga. Itu pertalian yang kerap bermain di mulut peneroka Felda Lepar Hilir 3 di sini, bagi menggambarkan keakraban dan keharmonian mereka walaupun berlainan bangsa dan agama.

Bagi M. Nagatewan, 64, keputusan untuk memasuki tanah rancangan itu pada tahun 1988 bagi mencari kehidupan lebih stabil buat keluarga adalah keputusan terbaik dibuatnya walaupun daripada 336 peneroka di situ, hanya dia bersama 10 lagi keluarga berbangsa India.

Kesusahan hidup di penempatan yang hanya 'setahun jagung' usianya waktu itu, dengan ketiadaan bekalan elektrik, tanah merah sebagai laluan masuk, lokasi yang agak terpencil dengan majoriti tiada kenderaan sendiri, menjadikan mereka saling mengambil berat akan satu sama lain.

"Jiran-jiran mula menjadi seperti keluarga. Sakit kami semua diambil tahu... pernah anak perempuan saya terkena air panas semasa saya tiada di rumah kerana pergi memancing, jiran tanpa berlengah terus keluar membawa anak saya ke klinik.

"Begitu juga semasa emak mentua meninggal dunia pada waktu malam. Jiran yang dipanggil P. Ramlee yang mempunyai kereta, terus bersetuju menghantar kami ke kampung di Kuala Krau, Temerloh dan beberapa hari kemudian dia telefon (ke kampung) untuk beritahu akan datang menjemput kami pulang.

"Di mana saya boleh cari kawan-kawan seperti ini? Sebab itu tidak pernah sekali saya menyesal untuk masuk tanah rancangan kerana ditemukan dengan orang baik-baik," kata bapa kepada lima orang anak itu kepada Bernama semasa ditemui di Felda itu baru-baru ini.

Nagatewan berkata setiap kali Deepavali rumahnya sentiasa menjadi tumpuan dan mereka sekeluarga tidak menang tangan melayani tetamu dari pagi hingga ke malam dengan hidangan yang sering dinantikan ialah muruku.

"Tapi nanti hari raya giliran kami pula berjalan dari satu rumah ke rumah lain... dan sudah tentu tidak boleh habis semua rumah dalam sehari. Kawan-kawan tahu saya suka makan lemang dan rendang ayam, jadi mereka akan sediakan sampai kenyang perut dengan juadah itu," katanya berseloroh.

Tok Ampat Felda itu, Rosli Samad, 59, pula berkata semangat gotong-royong juga masih kuat diamalkan di situ, malah budaya rewang turut diadakan semasa perkahwinan anak-anak Nagatewan dengan dua hidangan - masakan Melayu dan India - disediakan kepada tetamu.

Jemputan pula, menurut Rosli sudah tentu membabitkan keseluruhan kampung kerana mereka saling kenal-mengenali menyebabkan setiap majlis yang berlangsung di dewan di situ sangat meriah termasuk dengan kehadiran generasi kedua yang sudah bekerja di luar Felda.

"Akrab kami masih seperti di awal masuk Felda. Tambahan pula zaman gajet... sudah ada kumpulan WhatsApp untuk kami berkongsi maklumat. Apa saja berita yang sampai, sakit atau kematian, sudah tentu kami yang pertama tampil membantu.

"Kami sekeluarga, jika ada yang ditimpa bencana yang lain turut berduka. Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Jika tidak dapat banyak, sedikit bantuan pasti dihulurkan setakat yang termampu kerana kami sudah berasa susah bersama-sama di usia muda," katanya.

Perkara itu diakui S. Malika, 55, yang berkongsi pengalaman jiran-jiran sering mengambil berat selepas suaminya P. Sekar, 61, meninggal dunia akibat sesak nafas tahun lepas dan sehingga kini, mereka masih lagi bertanya jika dia memerlukan apa juga bentuk bantuan.

Kehidupan sebegitu, menurut Malika adalah impian suaminya, yang sentiasa tertarik dengan kehidupan masyarakat Felda menyebabkan mendiang 'mencuba nasib' mengisi permohonan untuk menjadi peneroka yang akhirnya menyaksikan lima anaknya berusia 27 hingga 38 tahun dibesarkan di situ.

"Semasa suami meninggal juga, semua jiran-jiran datang menziarah untuk kali terakhir. Walaupun berbeza agama, kami saling hormat-menghormati. Mereka juga sedih pemergian suami kerana terlalu banyak kenangan bersama di Felda ini," katanya.

Bagi generasi kedua Felda itu S. Kannan, 39, hari raya antara cuti umum yang sangat dinanti-nantikan beliau kerana berpeluang bertemu dengan kawan sepermainan yang bekerja di tempat lain dan peluang itu digunakan sebaiknya untuk bertanya khabar dan mengenang kisah lama.

Sebagai anak Felda, Kannan, bapa kepada tiga anak mengakui zaman kecilnya dipenuhi dengan aktiviti seperti memancing, mandi sungai dan bermain bola selepas tamat waktu persekolahan.

"Yang susah di sini ialah apabila buat nakal, semua orang tahu anak siapa. Jadi berita seperti ponteng sekolah selalunya cepat sampai ke telinga orang tua walaupun tiada telefon bimbit waktu itu," katanya sambil tersenyum.

Disiarkan pada: August 28, 2022 @ 12:40pm
d