mutakhir

Remaja mati dalam tandas terbiar, siasatan mengikut Seksyen 304 KK

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kematian remaja lelaki dalam insiden kebakaran tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3, semalam, disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu kematian tanpa niat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua rakan mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua remaja itu negatif dadah dan permohonan reman terhadap mereka dilakukan pagi ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Ketika ditanya mengenai punca kematian remaja berusia 16 tahun itu, Arjunaidi memaklumkan pihak masih menunggu laporan patologi bagi menentukan punca kematian.

Semalam, media melaporkan tindakan dua remaja bermain api mengundang padah apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap di dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 2.38 petang.

"Menurut rakan mangsa iaitu dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun, ketika kejadian mereka sedang baring di sofa di dalam tandas berkenaan.

"Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum api menjadi tidak terkawal," katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai seorang lelaki yang ditemukan mati ditembak serta ditetak di tepi jalan di Taman Sri Gadong, Klang, minggu lalu, Arjunaidi berkata, mangsa mempunyai rekod lampau berkaitan kongsi gelap.

"Kita masih mengesan suspek dan kelongsong peluru juga sudah diserahkan kepada Unit Balistik untuk pemeriksaan.

"Saya tidak mahu komen motif (pembunuhan) sama ada dendam ke apa sebab kita masih mengesan suspek," katanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa iaitu lelaki berusia 41 tahun ditemukan mati dipercayai ditembak serta ditetak di tepi jalan di hadapan rumah.

Hasil semakan, polis mendapati mangsa mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk kes jenayah berat membabitkan culik.

Disiarkan pada: August 29, 2022 @ 11:49am
d