mutakhir

Azalina lepas jawatan Penasihat Undang-Undang PM

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini, meletak jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri.

Perkembangan berkenaan disahkan sumber yang rapat dengan Ahli Parlimen Pengerang itu, dipercayai berpunca akibat isu kritikan ke atas badan kehakiman.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan kenyataan Azalina ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden Umno di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur di sini, Sabtu lalu.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menerima peletakan jawatan Azalina. Ia ada kaitan dengan isu kritikan (terhadap badan kehakiman)," katanya ringkas kepada BH, malam ini.

Azalina dilantik ke jawatan itu pada 2 Oktober 2021, selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ekoran beberapa alasan, pada 23 Ogos tahun sama.

Sabtu lalu, Azalina yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dilapor menyampaikan ucapan yang penuh semangat berkaitan pelantikan Peguam Negara (AG).

Beliau dilaporkan menjelaskan, pelantikan AG adalah atas nasihat Perdana Menteri, maka dia harus melantik 'orang dia' untuk mudahkan segala urusan.

"Pelantikan AG adalah atas nasihat PM dan PM harus melantik 'orang dia' sebagai peguam negara untuk mudahkan segala urusan.

"Jika kuasa menukarkan AG di tangan PM, mengapa PM tidak menukarkan AG, malah ia adalah bidang kuasa PM. Saya nak tanya satu sahaja, takkan nak tukar AG pun tak boleh," katanya dipetik.

Disiarkan pada: August 31, 2022 @ 12:08am
d