mutakhir

100,000 'banjiri' Dataran Merdeka [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Luar biasa. Itu gambaran sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang diadakan di Dataran Merdeka di sini, hari ini, selepas dua tahun ia tidak disambut susulan pandemik Covid-19.

Keunikan bukan saja dapat dilihat dalam acara perbarisan yang membawakan lebih 16,000 peserta dan lebih 200 aset, namun jumlah pengunjung yang hadir turut di luar jangkaan.

Kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat membanjiri lokasi sambutan yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

Semangat patriotik dapat dilihat apabila hampir keseluruhan pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka membawa sepanduk dan Jalur Gemilang bagi merayakan kemerdekaan negara dengan ada antara mereka mengenakan pakaian melambangkan Malaysia dan kepelbagaian bangsa.

Antara yang mencuri tumpuan adalah seorang kanak-kanak yang mengenakan pakaian seragam tentera, Muhammad Aryan Yusuf Mohamed Shafik berusia lima tahun.

Bapanya, Mohamed Shafik Abdul Hamid, 36, dari Sungai Buloh, Selangor, berkata, ini kali pertama dia dan anaknya datang menyambut Hari Kebangsaan di lokasi bersejarah itu.

Menurutnya, mereka hanya datang berdua dengan menunggang motosikal bagi mengelak kesesakan lalu-lintas.

"Semuanya bermula selepas anak saya menyatakan keinginannya menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka dan melihat acara perbarisan pasukan pakaian seragam. Sebelum ini dia menyambut kemerdekaan di tadika dan memakai pakaian askar, jadi hari ini, dia sendiri yang minta nak pakai lagi.

"Sudah pastilah anak sangat gembira dapat datang ke sini. saya juga berasa teruja kerana dapat merasai semangat patriotik serta perpaduan Keluarga Malaysia. Tak sangka sambutan kali ini sangat meriah," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Berkongsi keterujaan sama, Mohd Hishamudin Abdullah, 25, berkata, walaupun kali pertama berkesempatan hadir ke sambutan Hari Kebangsaan, namun dia yakin kali ini sangat luar biasa.

Pekerja swasta itu berkata, dia bersama tunangnya menaiki MRT dari Kajang pada jam 7 pagi dan terkejut melihat orang ramai.

"Walaupun terpaksa bersesak dan berhimpit dengan ramai orang untuk melihat perarakan, tapi saya rasa berbaloi. Saya dapat rasa semangat patriotik apabila melihat acara perbarisan yang menjadi simbolik sambutan Hari Kebangsaan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Yvonne Chin, 50, dari Kuala Lumpur datang bersama 10 ahli keluarganya untuk meraikan sambutan yang sudah dua tahun tidak diadakan susulan pandemik Covid-19.

Katanya, dia sangat gembira melihat ribuan orang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa memenuhi lokasi sambutan sekali gus menggambarkan semangat kebersamaan.

N Vijayalatchmy, 56, juga mengakui dia gembira dapat menyambut Hari Kebangsaan bersama seluruh rakyat Malaysia.

Guru tadika itu berkata, dia membawa anak perempuan dan dua rakan anaknya masing-masing berusia 15 tahun dengan menaiki MRT pada jam 8 pagi.

Beliau berkata, walaupun dapat melihat perarakan dari jauh namun mereka tetap puas hati dan menyimpan hasrat untuk datang lagi tahun depan.

Disiarkan pada: August 31, 2022 @ 12:21pm
d