mutakhir

Rumah Takdir 'markas' Tunku Abdul Rahman

Oleh BERNAMA

Georgetown: Rumah Takdir. Itulah nama yang dipilih oleh bekas Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk rumah kediamannya selepas bersara sebagai pemimpin nombor satu negara pada tahun 1970.

Rumah dua tingkat itu dibeli pada harga RM180,000 dengan menggunakan wang ganjaran yang diperoleh bagi tempoh berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Pada asalnya rumah itu terletak di No 16, Ayer Rajah Road, Pulau Tikus di sini, namun nama jalan ditukar kepada Jalan Tunku Abdul Rahman sebagai pengiktirafan kepada Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu itu.

Rekaan klasik kediaman bertemakan 'reka bentuk Inggeris' dengan tanah berkeluasan sekitar 19,651.07 meter persegi (64,472 kaki persegi). Rumah Takdir ini cukup cantik bukan sahaja ruang dalaman tetapi juga bahagian luarnya.

Semua ruang dalaman dicat warna putih, lantai berwarna coklat dan dari segi hiasan dinding, kebanyakannya gambar semasa Almarhum Tunku bersama pemimpin dan rakyat, sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Untuk bahagian luar rumah, terdapat kawasan lapang berumput dan beberapa pokok di sekeliling rumah. Kebiasaannya kawasan lapang dijadikan tempat berkumpul orang ramai pelbagai kaum dan majlis yang diadakan.

Berkongsi sejarah Rumah Takdir, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff memberitahu Bernama, beliau antara rakan terdekat yang menyaksikan bagaimana Rumah Takdir menjadi saksi serta 'markas' Almarhum Tunku menyemai semangat perpaduan kaum.

Mohd Yussof yang ketika itu berusia sekitar 50-an berkata, beliau sering dipanggil ke rumah berkenaan untuk beberapa urusan antaranya berkaitan buku dan artikel dalam akhbar, malah sering melihat masyarakat dari pelbagai kaum datang khusus untuk berjumpa dengan Almarhum Tunku.

"Selepas Tunku bersara, beliau memilih untuk tinggal di Pulau Pinang kerana bagi Tunku, negeri ini begitu dekat dengan hatinya. Beliau pada mulanya tinggal di sebuah rumah teres di Western Close namun selepas itu ditawarkan oleh seorang rakannya sebuah rumah di Ayer Rajah Road.

"Ketika itu Almarhum Tunku baru sahaja menerima ganjaran atau sagu hati daripada kerajaan selepas bersara sebagai Perdana Menteri dan beliau terus membeli rumah berkenaan dengan menamakannya Rumah Takdir," katanya.

Rumah Takdir tidak pernah sunyi kerana selain dijadikan sebagai 'pusat pertemuan' pelbagai kaum, ia juga sering menjadi lokasi pertemuan Almarhum Tunku dengan pemimpin besar dalam dan luar negara.

Menurut Mohd Yussof, Almarhum Tunku sentiasa menyambut baik kehadiran orang ramai tanpa mengira batas kaum dan agama ke rumahnya.

Melihat kepada sejarah Rumah Takdir, beliau berpendapat adalah wajar sekiranya kediaman itu dijadikan sebagai 'Rumah Perpaduan' kerana di situ lahirnya penyatuan kaum dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang sekian lama diterapkan oleh Almarhum Tunku.

Beliau dimaklumkan rumah itu yang diwarisi oleh anak Almarhum dijual kepada seorang pembeli sebelum dibaiki di bahagian dalamnya kerana lama tidak didiami.

Menjadi harapan beliau supaya Kerajaan Pusat mengambil pendekatan untuk membeli daripada pemilik berkenaan dan memulihara Rumah Takdir bagi memperingati jasa dan pengorbanan Almarhum Tunku.

Tunku mangkat pada tahun 1990.

Disiarkan pada: August 31, 2022 @ 12:34pm
d